AKSI konsisten yang ditampilkan pemain sayap Johor Darul Takzim (JDT), Arif Aiman pada awal musim ini membuatkan dia diangkat sebagai Pemain Terbaik Liga Super PFAM edisi Februari-Mac 2023.
Dipertandingkan untuk Februari dan Mac, anugerah yang dianjurkan oleh Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), menyaksikan Arif Aiman menewaskan empat lagi calon bagi memastikan dirinya kembali meraih gelaran tersebut yang mana kali terakhir dimenangi pada 2021.
Empat calon lain ialah Park Tae-su (Sabah FC), Fernando Forestieri (JDT), Faisal Abdul Halim (Selangor FC) dan penjaga gol PDRM FC, Ramadhan Hamid.
Sepanjang Februari dan Mac, pemain kebangsaan ini menjaringkan empat gol serta melakukan tiga assist untuk memastikan JDT memperoleh rekod kemenangan bersih dalam lapan perlawanan Liga Super.
Arif Aiman dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Liga Super PFAM edisi Februari-Mac 2023. — Facebook/PFAM
Namun begitu ada penyokong yang tidak berpuas hati dengan pemilihan Arif Aiman itu disebabkan isu menolak panggilan skuad kebangsaan semasa kempen Piala AFF hujung tahun lepas.
"Apa nak bangga, setakat kelab saja, pemain yang patut dibanggakan adalah pemain yang main kelab dan kebangsaan, tak kira apa pun kejohanan," kata Aril Adrill.
"Terbaik Arif Aiman, cuma harap sangat game Malaysia, Arif dapat join banyak sikit," luah Amin Ikram.
"Tak ada sumbangan untuk negara, Mickey the best," ujar Tarmizi Bakhari.
"Masih tunggu dia perform untuk Malaysia macam Faisal Halim," jelas Karunia Rodriguez.
Untuk info senarai pendek pemain dalam Anugerah Pemain Terbaik Liga Super PFAM 2023 setiap bulan akan dipilih berdasarkan keputusan penilaian lima orang panel yang terdiri dalam kalangan wartawan bola sepak daripada pelbagai agensi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram