SEBELUM ini kemelut melanda Kelantan FC boleh dikatakan hampir ke kemuncaknya apabila pemilik pasukan terbabit, Norizam Tukiman berhasrat untuk melepaskan sepenuhnya kelab itu kepada individu yang mampu.
Namun selepas memberi tempoh seminggu kepada mana-mana pihak yang berminat mengambil alih Kelantan, tiada siapa pun yang menyahut cabaran Norizam atau lebih dikenali Zamsaham.
Disebabkan itu, Zamsaham membatalkan hasratnya untuk menjual pasukan The Red Warriors(TRW) selepas tiada mana-mana pihak berani tampil mengambil alih kelab tersebut.
Kenyataan yang dimuat naik menerusi Facebook miliknya menyatakan ramai yang hanya berani memberikan komen dan kritikan tetapi tidak sanggup mengambil risiko membeli skuad TRW itu.
"Genap sudah tujuh hari (pada Selasa). Yang bercakap dan komen ramai tetapi sayangnya tiada sorang pun yang nak ambil risiko, keluar duit, atau pendek cerita ambil alih sepenuhnya A-Z Kelab TRW Kelantan FC dari saya," katanya dalam satu hantaran di laman Facebooknya pada Selasa.
Zamsaham (kanan) bergambar bersama TMJ. — Faecbook/JDT
Selain itu, keputusan tersebut turut didorong oleh pertemuannya dengan Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim beberapa hari lepas.
"Maka, selepas berjumpa dengan DYMM TMJ, saya dapat semangat baharu, inspirasi untuk saya teruskan menerajui kelab ini dan buat yang terbaik.
"Mungkin tak sekelip mata tapi berperingkat dan berfasa," katanya.
Zamsaham juga turut mengucapkan terima kasih kepada para penyokong Kelantan yang terus sudi menyokong pasukan berkenaan. Susulan pengumuman itu, ramai memberi komen positif dan berharap beliau dapat mengembalikan kegemilangan pasukan Pantai Timur itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram