Isu naturalisasi antara 3 topik 'panas' wajib sembang dalam forum TMJ-CEO


  • Podium
  • Selasa, 18 Apr 2023

Tunku Ismail ketika sesi soal jawab bersama kelab peminat JDT yang disiarkan secara langsung di Facebook Johor Southern Tigers pada September 2022. — Facebook/JohorSouthernTigers

BUKAN sekali dua pengurusan kelab bola sepak Liga Malaysia (Liga M) diminta bersemuka dengan penyokong bagi membolehkan mereka mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai pasukan masing-masing.

Sebelum cadangan tersebut diutarakan oleh pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), terdapat beberapa saranan daripada pemerhati sukan yang menggesa agar perbincangan sedemikian dibuat.

Ia termasuklah daripada jurulatih double treble Kedah Darul Aman FC (KDA FC), Azraai Khor Abdullah yang pernah meminta pengurusan Sang Kenari berdepan dengan penyokong ketika pasukan tersebut berdepan masalah prestasi musim lalu.

Apabila perkara sama dibangkitkan oleh TMJ, ia tentunya mendapat sambutan lebih hebat memandangkan ajakan itu datang daripada seorang individu yang cukup berpengaruh dalam bola sepak negara selain memiliki kredibiliti tersendiri di JDT.

TMJ mencadangkan agar satu forum terbuka secara langsung antara pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) dibuat supaya penyokong boleh mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai pasukan masing-masing.

Ajakan TMJ itu mendapat maklum balas positif daripada CEO Perak FC, Bobie Farid Shamsudin yang menjadi antara individu terawal menyahut cadangan TMJ untuk bersemuka dengan penyokong.

Selain topik perbelanjaan kewangan kelab meliputi gaji pemain, berikut antara tiga topik panas yang wajib dijadikan modal bersembang dalam forum berkenaan.

1928661

KDA FC dan JDT pernah berebut untuk mendapatkan khidmat Akhyar. — Facebook/JohorSouthernTigers

1. Isu tebus kontrak

JDT kerap kali menerima tuduhan menggunakan pintu belakang untuk memancing pemain-pemain hebat daripada kelab lain tatkala pemain berkenaan masih memiliki kontrak bersama majikan mereka.

Antara yang paling hangat diperdebatkan suatu ketika dahulu ialah kes perpindahan tonggak Harimau Malaya, Akhyar Rashid dari KDA FC ke JDT yang mana kontrak pemain sayap itu berbaki setahun dengan Sang Kenari.

Justeru, isu tebus kontrak boleh ditanyakan oleh penyokong bagi mendapatkan sendiri penjelasan sebenar daripada pengurusan kelab.

1848417

Skuad Harimau Malaya ke Piala AFF 2022 tidak dibarisi pemain JDT kecuali Safawi Rasid. — Facebook/FAM

2. Isu panggilan kebangsaan

Kelab Harimau Selatan juga terpalit kontroversi membabitkan isu panggilan kebangsaan apabila dikatakan merancang beberapa agenda membabitkan Harimau Malaya.

Ia termasuklah ketika 11 pemain JDT menolak panggilan skuad Harimau Malaya ketika saingan Piala AFF 2022 pada Disember lepas sebelum TMJ 'masuk' mempertahankan tindakan mereka dengan mengatakan pemain bukan mesin.

Selain itu, keberadaan beberapa nama pemain JDT dalam panggilan skuad kebangsaan ketika aksi persahabatan dengan Turkmenistan dan Hong Kong pada Mac lepas turut dipersoalkan penyokong.

Ini kerana, pemain berkenaan iaitu Syamer Kutty Abba, Syafiq Ahmad dan Muhammad Syahmi Safari ketika itu, dirasakan tidak mempunyai minit permainan mencukupi berbanding pemain lain untuk melayakkan mereka ke skuad kebangsaan.

1969058

JDT hanya menyenaraikan dua pemain tempatan dalam perlawanan menentang Negeri Sembilan FC pada Isnin. — Facebook/JohorSouthernTigers

3. Isu naturalisasi

JDT juga terpalit isu berkenaan pemain naturalisasi memandangkan umum mengetahui kelab itu dibarisi ramai pemain warisan dan naturalisasi.

Kelab itu memiliki Mohamadou Sumareh dan Endrick dos Santos selain Liridon Krasniqi dan Guilherme De Paula masing-masing dipinjamkan ke Terengganu FC dan Melaka FC.

Dengan adanya khidmat pemain naturalisasi, ada segelintir yang mendakwa perlawanan dengan JDT kurang seimbang kerana kelab itu seolah-olah menurunkan lebih ramai 'import' untuk menentang lawan.

Oleh itu, tidak hairanlah jika JDT kerap kali dicabar untuk menurunkan anak-anak tempatan dalam saingan liga bagi memperlihatkan kekuatan sebenar pasukan berkenaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram