'Perak FC tiada apa nak disorokkan', CEO TBG antara terawal sahut ajakan TMJ


  • Podium
  • Isnin, 17 Apr 2023

Bobie Farid (kiri) antara CEO kelab yang terawal menyahut ajakan TMJ untuk membuat forum dengan penyokong.

PERSATUAN Penulis Sukan-Sukan Malaysia (SAM) dilaporkan sedang berusaha untuk menjemput semua pemilik dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kelab-kelab Liga Malaysia (Liga M) untuk satu sesi forum secara langsung dengan penyokong.

Forum tersebut sebelum itu dicadangkan oleh pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) sebagai platform untuk penyokong kelab-kelab Liga Malaysia mendapatkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai pasukan masing-masing.

Ia termasuklah untuk menjawab persoalan penyokong mengenai struktur gaji pemain tempatan dan import di sesetengah kelab yang dikatakan agak tinggi.

Untuk merealisasikan forum tersebut, wartawan Astro Arena, Hafizal Hamad berkata, SAM kini sedang cuba untuk menjadi perantara semua kelab agar ia dapat direalisasikan.

Pada masa sama, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perak FC, Bobie Farid Shamsudin antara CEO kelab yang terawal menyahut ajakan TMJ untuk berbuat demikian.

"Boleh saja...kami di Perak FC got nothing to hide (kami di Perak FC tiada apa yang mahu disorokkan)," tulisnya dalam satu hantaran status Facebook menggunakan akaun TBG Super Fan.

Cadangan oleh TMJ itu dibuat selepas terdapat dakwaan kejayaan kelab itu mendominasi kejuaraan Liga M selama ini didorong oleh kekuatan kewangan kelab itu semata-mata dengan membayar gaji pemain dengan nilai yang tinggi.

Dakwaan tersebut bagaimanapun disangkal oleh TMJ sendiri melalui satu temubual eksklusif bersama Astro Arena baru-baru ini.

Bagaimanapun dengan penjelasan tersebut, masih ada segelintir penyokong yang masih tidak percaya dengan ketelusan pembayaran gaji di JDT.

Justeru, TMJ mencadangkan agar sebuah forum secara siaran langsung membabitkan semua pemilik dan CEO kelab diadakan untuk menjawab terus kepada penyokong masing-masing berserta bukti dan fakta. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram