SUDAH menjadi satu perkara normal dalam bola sepak apabila seseorang pemain menginginkan bayaran lebih baik berdasarkan prestasi masing-masing.
Hal itu juga tidak terkecuali di Liga Malaysia yang sememangnya tidak pernah lekang dengan kehadiran bintang yang menyerlah, baik dari dalam mahupun luar negara.
Salah satu kelab yang tidak pernah putus dengan lambakan pemain berkualiti dalam skuad pastinya juara Liga Super sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Takzim (JDT).
Ia dilihat sebagai salah satu kunci buat mereka memastikan legasi yang tercipta sejak 2012 tidak pernah lekang, termasuk di peringkat antarabangsa.
Uniknya, musim ini sahaja, kelab Selatan tanah air itu tidak lagi bergantung kepada khidmat bintang bersinar apabila mereka berjaya menghasilkan nama besar dengan sendiri.
Dua pemain muda, Arif Aiman Hanapi dan Feroz Baharudin menjadi antara yang menikmati permulaan karier cukup cemerlang selepas beberapa tahun berada dalam akademi JDT.
Kecemerlangan di posisi masing-masing sememangnya menarik perhatian sehingga orang ramai terus mengharapkan kedua-dua mereka diserap ke dalam skuad kebangsaan.
Oleh itu, dalam meningkatkan lagi semangat Feroz dan Arif, pemilik JDT, Tengku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris Sultan Ibrahim memilih untuk menaikkan gaji mereka.
Dalam satu sesi wawancara bersama Astro Arena, TMJ mendedahkan pihak pengurusan kelab sudah mengambil keputusan untuk meningkatkan gaji kedua-dua pemain tersebut.
Arif (hadapan) dan Feroz diberikan kenaikan gaji selepas menjadi tonggak skuad Harimau Selatan. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Semalam (Sabtu), saya nak naikkan gaji Feroz dan Arif Aiman, saya dapat tahu gaji Feroz berbelas ribu sahaja dan Arif Aiman tidak mencecah RM25,000.
"Bukan itu sahaja, pemain luar saya, Bergson (da Silva), baru sahaja 300,000 USD setahun, jadi adakah JDT yang berbelanja?" katanya.
Pendedahan TMJ itu dilihat cukup menarik memandangkan isu gaji dalam Liga Malaysia sering dipersoalkan orang ramai yang berteka-teki akan struktur kewangan kelab-kelab tempatan.
Mengulas lanjut, pemilik JDT itu juga berharap pihak pengurusan pasukan lain agar bersikap lebih telus kepada peminat bola sepak tanah air.
"Saya cadangkan setiap pasukan dalam negara perlu memberi lebih banyak akses kepada pihak media untuk mengadakan sesi temu bual secara langsung.
"(Ia) supaya pihak media ada akses untuk tanya, barulah ada sikap interaksi yang lebih relevan dan telus kerana tuduhan dibuat terhadap JDT tidak masuk akal," katanya.
Tahun lepas, TMJ turut meluangkan masa bersama kelab peminat pasukan yang hendak bertanya mengenai hala tuju serta gosip perpindahan.
Sesi yang diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu dilihat cukup bermakna dengan penyokong Harimau Selatan sempat bertanya beberapa soalan.
Musim ini, JDT berada di tahap berbeza selepas mencatatkan lapan kemenangan berturut-turut dalam liga dengan memperolehi 36 gol dan hanya melepaskan satu gol daripada pihak lawan.
Prestasi itu dilihat cukup baik untuk diteruskan dalam saingan Liga Juara-juara AFC (ACL) yang dijangka bakal berlangsung pada Ogos 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram