‘Bila berdoa, Tuhan bagi petunjuk’, awang import TFC bawa anak yatim ‘shopping’ baju raya


  • Podium
  • Selasa, 18 Apr 2023

Mintah membawa anak yatim ke sebuah pusat beli-belah di Kuala Terengganu untuk memilih sendiri pakaian raya yang disukai. — Instagram/@jordan_mintah28

PERBEZAAN agama tidak jadi halangan bagi pemain bola sepak Terengganu FC (TFC), Jordan Mintah untuk membantu kanak-kanak yang kurang berkemampuan membuat persiapan hari raya.

Malah penyerang berusia 28 tahun yang beragama Kristian itu, berbangga kerana dapat membantu kanak-kanak berkenaan agar dapat meraikan Aidilfitri dengan gembira sama seperti rakan mereka yang lebih bernasib baik.

Menurut Mintah, dia bersama rakannya telah membawa 10 anak yatim dari Kampung Gong Kapas, Terengganu ke sebuah pusat beli-belah untuk memilih sendiri pakaian raya yang disukai.

"Tahun ini saya rancang membawa beberapa kanak-kanak yang memerlukan untuk membeli pakaian raya. Saya mahu kanak-kanak kurang bernasib baik ini gembira dan rasa disayangi.

"Kadangkala apabila kita berdoa, kita tahu Tuhan akan beri kita petunjuk untuk melakukan sesuatu yang baik. Jadi, jika saya dapat petunjuk yang menyentuh hati ini, saya perlu lakukan,” katanya.

Pemain kelahiran Ghana itu berkata, dia tidak kekok atau berasa terasing berada dalam masyarakat berlainan agama kerana mempunyai ramai rakan beragama Islam.

Malah dia turut berpuasa dan meraikan Aidilfitri bersama keluarga angkatnya di Kuala Terengganu.

Menurut Mintah, dia juga memiliki beberapa pasang baju Melayu yang dihadiahkan oleh peminat dan rakannya.

"Saya sentiasa meraikan hari raya di Terengganu. Sudah tiga tahun dan ini masuk yang keempat.

"Saya bukan jenis yang suka keluar lepak. Jadi, pada hari raya saya akan luangkan masa bersama keluarga dan buat panggilan video dan tidur,” katanya. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram