PENYANYI popular dari Indonesia, Datuk Rossa menjelaskan bahawa beliau bukan seorang yang mudah untuk berkolaborasi dengan mana-mana individu sama ada artis tempatan atau luar negara.
Pemilik nama Sri Rossa Roslaina Handiyani atau lebih dikenali sebagai Teteh Ocha berkata, beliau seorang yang sangat teliti dalam pemilihan konsep lagu.
"Sudah pasti mahu sangat berduet dengan artis Malaysia tetapi untuk sekarang belum ada yang pasti dengan siapa.
"Biasanya saya tidak menetapkan artis terlebih dahulu tetapi lebih kepada penelitian konsep lagu kerana sebelum ini saya juga pernah kolaborasi dengan Hafiz Suip dan Joe Flizzow," katanya kepada Majoriti.
Penyanyi popular Indonesia, Datuk Rossa mempromosikan lagu terbaharunya Khanti di Malaysia.
Ratu soundtrack Indonesia itu juga mengatakan tujuan kehadiran dirinya datang ke Malaysia untuk mempromosikan lagu terbaharunya berjudul Khanti yang diciptakan sepenuhnya oleh Melly Goeslow dan susunan muzik hasil kerja Andi Rianto.
"Khanti membawa maksud amat sangat sabar dalam Bahasa Sansekerta dan merupakan soundtrack drama Bidadari Bermata Bening.
"Lirik lagu Khanti ini tiada kena mengena dengan saya atau orang sekeliling kerana ia sebenarnya menceritakan kesabaran seorang wanita dalam drama tersebut," kata Datuk Rossa.
Oleh itu, ibu kepada Rizky Langit Ramadhan itu berharap lagu Khanti akan mendapat sambutan daripada peminat di Malaysia.
Di samping itu, bagi persiapan raya, penyanyi lagu Ayat-Ayat Cinta itu mengatakan beliau akan balik ke kampung halamannya di Sumadeng, Indonesia untuk meraikan Hari Raya Aidilfitri bersama ibu bapa, anak dan ahli keluarga terdekat.
"Ini kerana, tahun sebelumnya adalah pandemik dan kita tidak mempunyai peluang untuk berjumpa secara bebas dengan ahli keluarga dan raya tahun ini semoga berjalan lancar," katanya penyanyi Atas Nama Cinta itu.
Tambahan pula, Datuk Rossa mendedahkan bahawa beliau seorang yang akan menabung apabila diberikan duit raya untuk membeli sesuatu yang disukainya seperti buku dan beg sekolah ketika masih kecil. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram