
JENDELA perpindahan bermula Disember hingga Februari lalu menyaksikan Kedah Darul Aman (KDA) FC menjadi antara pasukan yang berbelanja dengan mewah.
Ia bersesuaian dengan harapan pemilik baharu, Tan Sri Mohd Daud Bakar yang mahu menyaksikan kelab Utara tanah air itu kembali berada di tahap terbaik selepas satu musim yang mengecewakan.
Antara posisi yang diberikan penekanan pihak pengurusan ialah jentera serangan selepas mereka memilih untuk tidak menyambung kontrak penyerang bertubuh sasa, Ronald Ngah Wanja.
Dalam menyelesaikan permasalahan itu, KDA FC memilih untuk mencuba resipi baharu dengan membawa masuk dua penyerang import dari Brazil, iaitu Willian Lira dan Jonathan Balotelli.
Kedua-dua mereka pada awalnya memulakan karier bersama skuad Sang Kenari dengan langkah kanan selepas menjaringkan beberapa gol sepanjang tempoh pramusim.
Hal itu sememangnya memberi satu suntikan semangat buat penyokong Hijau Kuning yang mula memasang hasrat untuk melihat KDA FC muncul sebagai pencabar takhta Liga Super 2023.
Tetapi, usaha pihak pengurusan tidak terhenti di situ apabila mereka memilih untuk terus berbelanja dengan membawa masuk pemenang Kasut Emas Piala Dunia Bawah 20 (B-20) tahun 2013, Ebenezer Assifuah.
Kehadirannya itu pada awalnya menimbulkan kesangsian dengan dia dikhabarkan masih bergelut untuk berada dalam tahap kecergasan terbaik selepas mengalami kecederaan beberapa tahun lalu.
Hal itu sememangnya diberikan perhatian barisan kejurulatihan Sang Kenari yang terus meletakkannya dalam skuad simpanan untuk bersaing dalam Piala MFL.
Willian Lira (kanan) masih belum mendapatkan sentuhan terbaik dalam Liga Super. — Facebook/KDA FC
Bagaimanapun, dengan saingan Liga Malaysia sudah memasuki bulan ketiga, kesemua penyerang itu sepertinya berdepan nasib yang sedikit berbeza.
Prestasi tidak menentu Willian Lira menyaksikannya terus dikritik meskipun sudah menjaringkan tiga gol daripada lapan penampilan Liga Super.
Untuk memperkukuhkan lagi pasukan, cadangan penyokong KDA FC adalah dengan mengharapkan agar ketua jurulatih, Nafuzi Zain meletakkan Balotelli dalam kesebelasan utama.
Lebih menarik lagi, ada juga yang mendesak agar Assifuah terus diberikan kepercayaan untuk dimasukkan ke dalam skuad senior selepas menyerlah dalam saingan Piala MFL.
Ia dibuktikan dengan jaringan penting yang diperolehinya setakat ini, termasuk dua gol ketika KDA FC B menundukkan Johor Darul Takzim (JDT) II dengan keputusan 2-1 Ahad lalu.
Tetapi, bagi Nafuzi, sikap terburu-buru untuk meletakkan pemain berusia 29 tahun itu ke dalam pasukan senior Sang Kenari hanya akan berakhir dengan kerugian.
"Saya gembira dengan perkembangan semasa Assifuah kerana kita tahu, dia baru pulih dari kecederaan. Jadi, dia perlu ambil masa untuk kembali dari segi kecergasan, rentak dan keyakinan.
"Peningkatan Assifuah ini juga menggembirakan kami kerana kita tahu, saya letakkan dia dalam skuad KDA FC B dan satu masa nanti, saya akan menggunakannya," katanya kepada Astro Arena.
Nafuzi terus tenang dan tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru. — Facebook/KDA FC
Dalam enam penampilan Piala MFL, penyerang kelahairan Ghana itu sudah memperoleh enam gol peribadi, sekali gus mengangkat namanya sebagai penggempur terbaik dimiliki skuad Sang Kenari buat masa ini.
Sumbangan itu juga menyaksikan KDA FC B berada di kedudukan ketiga Kumpulan A dengan hanya dibezakan empat mata berbanding pasukan di atas, PDRM FC.
Selain itu, Nafuzi turut mengingatkan penyokong Hijau Kuning bahawa mereka perlu bersabar kerana pihaknya tidak mahu membantutkan perkembangannya.
"Saya dan pihak pengurusan sudah berbincang sebelum ini bahawa ia memang perancangan kami untuk melihatnya diletakkan bersama skuad Liga Super.
"Cuma, tunggu masa dan waktu yang sesuai kerana kita tidak mahu mengganggu proses peningkatannya kerana ia berada dalam keadaan positif," katanya.
KDA FC ketika ini sedang berada di tangga keempat Liga Super dan mereka bakal bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC di laman sendiri pada Selasa untuk memperbaiki kedudukan itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram