NASIB tonggak import Kedah Darul Aman (KDA) FC, Ebenezer Assifuah yang kini menjadi tunjang utama pasukan Bawah 23-tahun Kedah dalam saingan Piala MFL masih samar-samar sama ada dia akan beraksi bersama skuad utama atau sebaliknya.
Sejak menampilkan persembahan cemerlang di peringkat Piala MFL, penyerang import berkenaan dikatakan cukup syarat untuk menggantikan Willian Lira yang kini masih mengambil masa untuk mengasah ketajamannya.
Lira yang berasal daripada Brazil itu tidaklah seperti bintang samba lain seperti Bergson Da Silva di Johor Darul Takzim (JDT) yang mana menjadi penjaring terbanyak Liga Super musim lepas dengan 29 gol.
Manakala Lira pula hanya menjaringkan tiga gol buat Sang Kenari dalam lapan penampilannya dalam saingan Liga Super musim ini.
Justeru itu, ramai penyokong Sang Kenari lebih tertarik dengan penyerang Ghana itu untuk diletakkan di skuad utama Kedah berbanding Lira dan rekod jaringan golnya bersama KDA FC B sudah cukup menjadi bukti.
Pemain berusia 29 tahun itu kini konsisten menjaringkan gol di setiap perlawanan di Stadium Darul Aman dan sebanyak empat gol dalam tiga perlawanan sudah direkodkan oleh bekas tonggak kelab Perancis, Pau FC tersebut.
Nasib Assifuah diramal seperti Mintah iaitu mendapat peluang apabila pemain utama digugurkan. — Facebook/TFC
Melihat kepada situasi Assifuah yang sehingga kini masih belum mendapat kepercayaan pengendali Nafuzi Zain, ada penyokong mulai memberi pendapat bahawa pemain kebangsaan Ghana itu menerima nasib sama dengan peledak Terengganu FC, Jordan Mintah.
Sebelum dinaikkan pangkat ke skuad utama, Mintah juga hanya mengisi slot sebagai pemain TFC II untuk saingan Liga Perdana dan pengendali skuad Sang Penyu ketika itu iaitu Nafuzi juga tidak melihat kemampuannya.
Pemain berusia 27 tahun itu mulai mendapat tempat dalam skuad utama TFC pada pertengahan musim 2021 apabila pihak pengurusan membuat keputusan untuk tidak menyambung kontrak penyerang utama, David Da Silva kerana kegagalannya untuk mengemudi jentera serangan.
Pada pertengahan musim 2022 pula, Mintah dipinjamkan ke Kuala Lumpur (KL) City FC bagi baki saingan Liga Malaysia dan pada tahun ini pemain dari Ghana itu mulai sering menghiasi kesebelasan utama skuad utama TFC.
Jika Assifuah ditakdirkan mempunyai alur cerita seperti penyerang Terengganu itu, Nafuzi berkemungkinan akan menggunakan khidmatnya apabila Lira sudah digugurkan daripada perancangan pasukan Kedah. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram