KEUNGGULAN Kedah Darul Aman (KDA) FC ketika pertemuan 'Derbi Utara' Liga Super dengan Penang FC pada Rabu pastinya satu keputusan yang cukup membanggakan.
Manakan tidak, kemenangan itu mengesahkan bahawa skuad Sang Kenari adalah pasukan lebih hebat berbanding 'jiran' mereka tersebut meskipun ia hanya kemenangan tipis 1-0.
Bukan itu sahaja, kejayaan untuk menundukkan skuad Harimau Kumbang tersebut juga pastinya sukar dilupakan penyokong Hijau Kuning selepas mereka disingkirkan daripada saingan Piala FA, Mac lalu.
Pihak pengurusan kelab juga pastinya tidak kurang gembira apabila kemenangan itu meletakkan KDA FC berada di tangga kedua Liga Super mengatasi pencabar terdekat, Selangor FC dengan perbezaan jaringan.
Ia pastinya amat melegakan memandangkan mereka memulakan kempen musim ini dengan agak kekok sehingga penyokong bola sepak tanah air mempertikai kebolehan pasukan Utara tanah air itu.
Namun, di sebalik senyuman yang menghiasi wajah pengikut setia Sang Kenari, pasti terpalit kegusaran jauh di lubuk hati masing-masing.
Nafuzi lebih berminat untuk menggunkan khidmat Willian Lira setakat tujuh aksi Liga Super. — Facebook/KDA FC
Ia berikutan jadual Liga Super minggu kelapan yang bakal menyaksikan KDA FC bertandang ke Stadium Sultan Ibrahim, Johor untuk bertemu pendahulu, Johor Darul Takzim (JDT).
Tidak boleh dinafikan bahawa pertemuan kedua-dua pasukan itu sering menyajikan orang ramai dengan aksi yang cukup sengit seperti mana dapat disaksikan musim lepas.
Kedua-dua pasukan dilihat sedang berada dalam prestasi terbaik, namun tidak boleh dinafikan bahawa pasukan tuan rumah mempunyai kelebihan maksima.
Tetapi, KDA FC pastinya tidak mahu melayangkan bendera putih terlalu awal walaupun tahu cabaran yang bakal ditempuhi di tempat lawan pada Ahad depan.
Bagi penyokong Hijau Kuning, mereka pastinya hadir dengan cadangan tersendiri dalam mencerahkan lagi peluang untuk sekurang-kurangnya membawa pulang sesuatu yang positif.
Tampil memberi pandangan tersendiri adalah seorang peminat setia Sang Kenari, Amy Zimie yang mahu melihat ketua jurulatih, Nafuzi Zain melakukan perubahan.
Balotelli sering dimasukkan pada penghujung perlawanan setakat ini. — Facebook/KDA FC
"Kalau kita gandingkan (Ebenezer) Assifuah dan (Jonathan) Balotelli, ada antara kita yang setuju?" soalnya di Facebook.
Hantaran itu turut disertakan dengan tanda pagar #LiraOUT berikutan aksi penyerang utama pasukan, Willian Lira yang sedikit mengecewakan setakat ini.
Meskipun penyerang kelahiran Brazil itu menjadi wira ketika aksi 'Derbi Utara' dengan jaringan sulungnya, gaya permainannya sering dikritik.
Bagaimanapun, Nafuzi dilihat cukup selesa untuk menggunakan khidmatnya dengan ia dibuktikan apabila Lira sudah diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama ketujuh-tujuh perlawanan Liga Super setakat ini.
Pandangan Amy itu menerima respons positif daripada rata-rata pengguna media sosial lain yang berhasrat untuk melihat perubahan dilakukan.
"Lira patut direhatkan, kita beri Balotelli jadi pemain utama pula," kata Mad Krie.
"Lira patutnya rehatlah terlebih dahulu," kata Omar Haji Ali.
Ebenezer masih menunggu peluang untuk beraksi di Liga Super. — Facebook/KDA FC B
Bagi Balotelli, kemampuannya sedikit terserlah setakat ini apabila dia sudah menjaringkan dua gol meskipun hanya dimasukkan sebagai pemain simpanan.
Salah satu sumbangan terbesar pemain berusia 34 tahun itu adalah ketika aksi menentang Sri Pahang FC yang meletakkan kedua-dua pasukan terikat pada minit-minit akhir perlawanan.
Assifuah pula hanya diletakkan dalam skuad simpanan Sang Kenari tatkala dia dilaporkan masih dalam proses penyembuhan daripada kecederaan ligamen krusiat anterior (ACL).
Statistiknya ketika beraksi dalam Piala MFL juga tidak kurang hebatnya dengan dua jaringan sudah diperolehi setakat tiga perlawanan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram