KEDAH Darul Aman FC (KDA FC B) menewaskan skuad Johor Darul Takzim II (JDT II) dalam saingan Piala MFL di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah, pada Ahad.
Pemain import, Ebenezer Assifuah yang menjadi tunjang utama pasukan bawah 23-tahun itu terus membuktikan dirinya penjaring berbisa selepas meledak dua gol buat Sang Kenari.
Assifuah menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-22 melalui larian solo dari bahagian sayap untuk menewaskan penjaga gol JDT II.
Pasukan pelawat menyamakan kedudukan melalui pemain tonggaknya, Ahmad Aysar Hadi pada minit ke-25. Begitupun, Assifuah sekali lagi meletakkan Sang Kenari B di depan menerusi jaringan pada minit ke-55.
"Boleh pergi jauh Assifuah ni, penyudah tajam. One by one dengan keeper pun mantap," kata Huzaimi Hassan.
Mohd Helman pula berasakan Assifuah memiliki tiga kriteria sebagai penyerang yang baik.
"Sentiasa onside tu yang penting, pandai cari ruang dan penyudah padu," katanya.
Assifuah (kanan) meledak dua gol ketika aksi menentang JDT II pada Ahad. — Facebook/ KDA FC
Sementara itu, ada penyokong JDT berpendapat KDA FC agak terdesak untuk menang ke atas skuad pembangunan Harimau Selatan kerana menurunkan pemain senior dan import.
Dalam kesebelasan utama Sang Kenari B, ketua jurulatih, Rosle Md Derus menurunkan pemain dari skuad senior iaitu Azrin Afiq, Aiman Afif dan Fadzrul Danel selain Assifuah dan Alan Robertson sebagai kapten.
JDT II pula menurunkan barisan pemain muda seperti Najmudin Akmal, Ahmad Irfan, Daryl Sham, Umar Hakeem dan Adam Farhan manakala pemain senior, Hazwan Bakri bertindak sebagai kapten.
"Kedah sampai dua import...Betul-betul nak kalahkan JDT tu," ujar Nordin Onn.
"Okey team adik-adik (lawan) team sebelah tu ada uncles," tambah Harris Nasution.
Ishak Mohamad pula berharap JDT dapat memperbaiki persembahan pada perlawanan seterusnya.
"Banyak perbezaan team sekarang dengan yang lepas-lepas...nampak struggle daripada first game sampai sekarang, kenapa ya?," soalnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram