'Boleh tengok Harimau Malaya lebih dekat', aksi lawan Kepulauan Solomon, Yaman di SSMZA Jun depan


  • Podium
  • Selasa, 18 Apr 2023

Pemain Harimau Malaya, Akhyar Rashid meraikan jaringan bersama Faisal Halim ketika aksi persahabatan menentang Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, Johor, pada 28 Mac lepas. — Bernama

DUA aksi persahabatan melibatkan skuad Harimau Malaya akan diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Jun ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin turut mengumumkan bahawa harga tiket kekal pada kadar RM30 bagi dewasa.

"Pasukan kita akan beraksi di Kuala Terengganu untuk memberikan peluang kepada peminat di Pantai Timur iaitu Terengganu dan Kelantan menyaksikan perlawanan dan pemain secara dekat," katanya.

Hamidin yang juga Ketua Kontinjen (CDM) Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024, berkata demikian selepas meninjau latihan skuad terjun negara di Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil bersama Timbalannya, Datuk Nicol David.

Skuad Harimau Malaya yang melonjak ke ranking 138 dunia pada awal bulan ini, dijadual bertemu Kepulauan Solomon yang menghuni ranking ke-134 dunia sama ada pada 15 atau 16 Jun, diikuti aksi menentang Yaman (ke-157) pada 20 Jun.

Pasukan kendalian Kim Pan-gon sebelum ini, mengharungi dua aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada bulan lepas, menyaksikan skuad kebangsaan mencatat kemenangan 1-0 dan 2-0 masing-masing ke atas Turkmenistan dan Hong Kong.

Stadium Nasional Bukit Jalil, yang menjadi venue keramat skuad Harimau Malaya, tidak dapat digunakan berikutan kerja-kerja penggantian rumput pada masa ini. — Bernama

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram