Tiga calon naturalisasi HM antara 8 import 'proven' dalam Liga M berstatus 'free agent'


  • Podium
  • Jumaat, 14 Apr 2023

Ifedayo antara pemain berkualiti yang kini masih tidak memiliki mana-mana pasukan. — Facebook/Melaka United

JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dijangka dibuka pada Julai bagi memberi peluang pasukan bertanding dapat menambah baik skuad masing-masing.

Pastinya pertukaran pemain import akan berlaku apabila mereka tidak boleh beraksi dengan baik sepanjang pusingan pertama liga.

Kadangkala pemain-pemain import dilepaskan disebabkan pihak pengurusan sudah membuat perancangan untuk menghadapi musim baharu.

Disebabkan perancangan pasukan, beberapa pemain import yang bagus terpaksa dilepaskan bagi merealisasikan perancangan yang sudah dibuat.

Jadi menjelang tirai perpindahan kedua Liga M, pasukan yang dilihat bergelut ataupun inginkan rombakan kecil boleh mendapatkan pemain-pemain yang sudah terbukti mempunyai pengalaman dan kualiti beraksi di Malaysia.

Majoriti senaraikan tujuh pemain bintang import yang masih belum mempunyai pasukan menjelang jendela perpindahan kedua liga:

Kali terakhir Macel bermain dalam Liga M ialah dengan mewakili KDA FC pada musim lepas. Facebook/KDA FC

1. Dechi Marcel

Pemain berusia 31 tahun yang pernah disamakan dengan Kante ini pernah dicanang sebagai bakal naturalisasi Harimau Malaya.

Namun, impian penyokong untuk melihat Marcel bermain sebagai pemain kebangsaan pastinya terkubur jika dia masih tidak mempunyai pasukan pada tahun ini.

Marcel memulakan karier sebagai pemain bola sepak di Malaysia dengan menyertai UiTM FC sebelum berhijrah ke Terengganu FC (TFC) selepas dua tahun bersama pasukan universiti itu.

Kali terakhir Macel bermain dalam Liga M ialah dengan mewakili Kedah Darul Aman FC (KDA FC) sebelum dilepaskan kerana rombakan besar-besaran skuad Hijau Kuning musim ini.

Belfort mempunyai kelebihan dalam perebutan bola di udara selain turut mempunyai sepakan padu dari jarak jauh. Agensi

2. Kervens Belfort

Beraksi bersama Kelantan FC di Liga Perdana musim lalu, Kervens Belfort merupakan jentera serangan utama pasukan itu selepas berjaya membantu skuad The Red Warriors (TRW) muncul naib juara.

Pemain berketinggian 1.89 meter itu juga mempunyai kelebihan dalam perebutan bola di udara selain turut mempunyai sepakan padu dari jarak jauh yang mampu menembusi gawang lawan.

Belfort dengan ketinggian 1.93 meter membuktikan pemain kelahiran Haiti itu berpotensi untuk diletakkan di posisi serangan pasukan dengan fizikal tegap dimilki mampu menggugat barisan pertahanan lawan.

Hilal berjaya menjaringkan lima gol dan dua assist bersama Penang musim lalu. Facebook/MFL

3. Hilal El-Helwe

Bekas penyerang Penang FC, Hilal El Helwe yang ditamatkan kontraknya pada penghujung saingan musim lalu kini difahamkan belum disambar mana-mana pasukan lagi.

Merupakan tonggak skuad kebangsaan Lubnan ketika beraksi di saingan Kelayakan Piala Dunia 2022 dan turut mewakili negaranya dalam Piala Asia 2019, pemain berusia 28 tahun ini dijangka akan menjadi pisang goreng panas di pasaran.

Beraksi dalam 19 perlawanan Liga Super musim lepas, Hilal berjaya menjaringkan lima gol dan dua assist.

Meskipun ada pihak berpendapat jumlah jaringan itu agak kecil bagi seorang pemain di posisi penyerang, namun melihatkan kelicikan serta skil yang dimilikinya pasti mampu menggugat barisan pertahanan lawan.

Shitembi muncul sebagai antara watak penting apabila dia diturunkan sebanyak 14 kali dengan 10 bantuan gol berjaya direkodkan. Facebook/TFC

4. Petrus Shitembi

Selepas berjaya melayakkan diri ke Piala AFC 2023, Terengganu FC gagal untuk mengekalkan hampir keseluruhan daripada tulang belakang pasukan termasuk pemain dan staf kejurulatihan.

TFC kehilangan tonggak pasukan termasuk beberapa import, termasuk pemain tengah kelahiran Namibia, Petrus Shitembi.

Dalam saingan Liga Super musim lalu, Shitembi muncul sebagai antara watak penting apabila dia diturunkan sebanyak 14 kali dengan 10 bantuan gol berjaya direkodkan.

Hal itu membuktikan bahawa dia mempunyai kualiti untuk menyuntik perbezaan kepada mana-mana pasukan dengan kemahiran untuk melakukan hantaran tepat kepada rakan sepasukan.

Cabrera berhasil meledak 57 gol sejak mewakili pasukan Harimau Selatan pada 2017. Facebook/JDT

5. Gonzalo Cabrera

Pemain kelahiran Argentina itu boleh dikatakan merupakan bintang import cemerlang Johor Darul Takzim (JDT) dengan menyaksikan dia berhasil meledak 57 gol sejak mewakili pasukan Harimau Selatan pada 2017.

Dengan rekod baik pemain berusia 33 tahun itu bersama JDT, tidah hairanlah keputusan pihak pengurusan JDT itu sukar diterima penyokong Harimau Selatan.

Meskipun JDT sudah menafikan akan menandatangani bekas pemain import mereka, Gonzalo Cabrera sebagai pemain naturalisasi, namun penyokong masih berharap akan menyaksikan pemain itu menyarung jersi Harimau Selatan.

Ifedayo berjaya membuktikan kemampuannya selepas menjaringkan tujuh gol dalam 15 penampilan Liga Super musim lalu. Facebook/Melaka United

6. Ifedayo Olusegun

Kemelut kewangan dan pengurusan yang dihadapi Melaka United FC menyaksikan hampir kesemua pemain meninggalkan pasukan, termasuk penyerang import kelahiran Nigeria, Ifedayo Olusegun.

Walaupun skuad Hang Tuah bergelut sepanjang musim, pemain tersebut masih berjaya membuktikan kemampuannya selepas menjaringkan tujuh gol dalam 15 penampilan Liga Super musim lalu.

Prestasi tersebut pastinya menjadi satu tarikan kepada pasukan Liga Malaysia yang masih berhasrat untuk menajamkan lagi barisan serangan untuk musim akan datang.

Sandro pernah beraksi bersama beberapa pasukan di dalam saingan Liga Malaysia seperti Kedah Darul Aman FC, Selangor FC dan Sarawak United. Bernama

7. Sandro Mendonça

Arkitek tengah kelahiran Brazil ini sangat diminati oleh penyokong-penyokong Kedah kerana dia merupakan salah seorang pemain yang berjaya membawa skuad Hijau Kuning memenangi Liga Perdana 2015, Piala Malaysia 2016, Piala FA Malaysia 2017 dan Piala Sumbangsih 2017.

Sandro telah menjadi salah seorang pemain import terbaik yang pernah dimilik oleh pasukan Kedah semasa di bawah bimbingan bekas jurulatih kebangsaan iaitu Tan Cheng Hoe.

Pemain tengah berusia 39 tahun itu pernah beraksi bersama beberapa pasukan di dalam saingan Liga Malaysia seperti Kedah Darul Aman FC, Selangor FC dan Sarawak United selepas meninggalkan skuad Hijau Kuning.

Sandro juga berjaya merekodkan statistik yang agak menarik semasa beraksi dalam saingan Liga Malaysia iaitu dengan 27 jaringan gol dan 14 bantuan gol dalam 56 penampilan.

Guerra tidak sempat beraksi dengan Sarawak United berikutan Liga M dihentikan seketika gara-gara penularan wabak Covid-19. Agensi

8. Gabriel Guerra

Destinasi bekas penyerang JDT, Gabriel Guerra masih menjadi teka-teki selepas dia memberi bayangan akan kembali ke pentas bola sepak Malaysia.

Ketika ini khabar angin kuat mengatakan penyerang berusia 30 tahun itu hampir pasti ke Selangor FC bagi mengisi kekosongan pemain bernombor 10.

Di sebalik itu, ada juga desas-desus mengaitkan pemain itu ke skuad JDT semula selepas hantarannya di Instagram mendapat tanda suka daripada bekas rakan sepasukannya di Harimau Selatan.

Guerra yang kini berstatus ejen bebas sudah dua musim tidak memiliki kelab selepas meninggalkan Sarawak United FC pada 2020.

Itupun, dia tidak sempat beraksi dengan skuad Ngap Sayot berikutan Liga Malaysia dihentikan seketika gara-gara penularan wabak Covid-19. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram