Lama kena 'peram' di bangku simpanan JDT, fans cadang bekas Harimau Malaya cari angin baharu


  • Podium
  • Ahad, 16 Apr 2023

Aksi pemain JDT menentang PDRM FC dalam Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat.— Facebook/JOHOR Southern Tigers

AKSI perlawanan antara Johor Darul Takzim (JDT) menentang pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) FC dalam Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat masih menjadi perbualan hangat dalam kalangan pencinta sukan tersebut.

Mana tidaknya, skuad Harimau Selatan itu dengan mudahnya membaham Sang Saka Biru 3-0 dalam perlawanan tersebut hasil jaringan Bergson Da Silva seawal minit ketiga, sebelum penyerang kelahiran Brazil tersebut menyempurnakan sepakan penalti untuk gol kedua pada minit ke-12.

Penutup perlawanan tersebut kemudiannya dilengkapkan dengan sepakan penalti oleh pemain tengah JDT, Leandro Velazquez untuk gol ketiga pada minit ke-27, sekaligus membuatkan skuad The Cops berputih di laman pihak lawan.

Bagaimanapun, di sebalik kemenangan yang dijulang juara bertahan Liga Super itu, perhatian peminat-peminat mereka lebih terarah kepada pemain sayap kanan JDT, Mohamadou Sumareh yang tiba-tiba membuat kemunculan khas pada perlawanan tersebut.

Bukan apa, pemain kelahiran Gambia itu dilihat kali terakhir bermain untuk pasukannya ketika perlawanan menentang Petaling Jaya (PJ) City FC dalam Piala Malaysia pada Oktober tahun lalu.

Jadi, kemunculannya pada perlawanan pada Jumaat menentang PDRM FC yang suam-suam kuku itu membuatkan peminat-peminat JDT mula mempersoalkan kehebatannya yang sememangnya merudum selepas meninggalkan Sri Pahang FC pada tahun 2020.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila pandangan di ruangan komen mengatakan bahawa keputusan pemain berusia 28 tahun itu untuk berkelana dari skuad Tok Gajah menjadi punca utama rentak permainannya terus malap.

341519787_1380784862757581_1033231869855664701_n

Kemunculan Sumareh ketika perlawanan JDT menentang PDRM FC dalam Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

.

"Hilang terus bayang si Suma ni. Debut dia semasa dengan Pahang sampai ke Harimau Malaya padu. Tapi entahlah salah Pahang ke salah Sumareh ke dulu.

Apapun begitulah bola sepak. Ada masa kemuncak ada masa tidak," kata Hasrul Hayyun Hassan.

Malah, ada yang memerlinya dengan menyangka pemain naturalisasi negara itu telah bersara daripada arena bola sepak.

"Tunggu Piala FA tahun depan pula baru nampak kelibat," sindir Yus Van Yusteroy.

Bagaimanapun, ada juga peminat yang menyarankan Sumareh untuk menyertai pasukan lain, mungkin kerana kemahirannya lebih diperlukan di tempat lain.

"Awak pemain yang hebat, bangku simpanan bukan tempat kau, sila tinggalkan kelab itu," kata Ibnu Mohdnor.

Untuk rekod, Sumareh hanya menjaringkan satu gol dan muncul sebanyak tujuh kali dalam Liga Super musim lalu.

Apa pun, diharap Sumareh tidak merajuk dengan usikan peminat-peminat JDT yang sebenarnya sayangkannya dan perlu lebih banyak munculkan diri dalam perlawanan selepas ini daripada sekadar memerhati dari tepi padang. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram

Sumareh, JDT, Liga Super, Piala FA, PDRM FC,