ISU 'luar padang' Kelantan FC dengan ejen terkenal dari Korea Selatan, Myeongho Jeong dan ketua jurulatihnya, Choi Moon-sik, menjadi topik bualan panas penyokong beberapa hari lepas.
Kemelut pasukan itu beranjak ke episod seterusnya selepas pemiliknya, Norizam Tukiman memberi bayangan untuk melepaskan pasukan terbabit.
Ini selepas dia menerima tekanan bukan sahaja daripada pendedahan Myeongho Jeong di Instagram malah daripada penyokong yang menzahirkan rasa tidak puas hati dengan prestasi pasukan dalam Liga Super.
Myeongho Jeong terlebih dulu menyatakan bakal membawa masalah dalaman Kelantan FC ke Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).
Namun Norizam yang lebih dikenali sebagai Boszam juga mengambil tindakan balas dengan mengarahkan Bahagian Undang-Undang Kelantan FC untuk membawa kes tersebut ke FIFA dan menyaman Myeongho Jeong dan Moon-sik.
Pemilihan pemain Kelantan dibuat sebelum kelab menandatangani ketua jurulatih. — Facebook/ Kelantan FC
Kemelut membabitkan skuad The Red Warriros (TRW) itu bermula selepas Moon-sik direhatkan ketika aksi Liga Super menentang Terengganu FC (TFC) minggu lalu.
Di media sosial, penyokong Kelantan sudah boleh mengagak skuad TRW bakal dibelenggu masalah dengan jurulatih kerana pemilihan pemain dibuat sebelum Moon-sik ditandatangani oleh kelab.
Seorang penyokong, Mohd Rizalman Johari berkata, dari awal lagi, kebanyakan penyokong TRW termasuk dirinya kurang bersetuju dengan cara Boszam.
"Pilih pemain dulu baru pilih jurulatih, patutnya pilih jurulatih dulu baru pilih pemain bersama-sama dengan pemilik dan jurulatih.
"Apabila pemain yang dipilih Boszam tidak serasi dengan taktikal jurulatih, jurulatih juga yang dipersalahkan.
"Jurulatih terpaksa pakai apa yang ada dalam team tersebut," katanya.
Bernhardt (kiri) dilantik bagi menggantikan Moon-sik. — Facebook/ Kelantan FC
Tengku Carlos pula berpendapat, cara Boszam yang dirasakan mungkin mahu meniru kelab Johor Darul Takzim (JDT) dari segi pemilihan jurulatih tidak dibuat dengan baik.
"Mungkin nak tiru JDT tapi JDT dulu dia hire jurulatih yang tahu selok-belok pemain Malaysia dan liga seperti Bojan Hodak serta Fandi Ahmad.
"Dia ambil pemain terbaik dan beri stabil setiap posisi, kemudian ansur-ansur ambil jurulatih luar apabila semua pemain dah stabil.
"Itu yang tiada hal...dah tau pemain nak ambil ikut perancangan pemilik JDT, TMJ (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) manakala import je dapat nasihat daripada pengarah sukan kelab," katanya.
Sebelum ini, Kelantan FC mengumumkan pelantikan Frank Bernhardt bagi menggantikan Moon-sik.
Bagaimanapun aksi pertamanya sebagai jurulatih TRW tidak bermula dengan baik apabila tewas 0-3 kepada Selangor FC 0-3 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Ahad.
Selepas ini, Kelantan berdepan tugas sukar apabila berkunjung ke Stadium Likas untuk bertemu Sabah FC pada aksi Liga Super, 19 April depan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram