PEMAIN yang menjadi sasaran Manchester United, Harry Kane dikatakan akan menjadi prospek yang 'hebat' jika bergandingan dengan Bruno Fernandes, Antony dan Marcus Rashford.
Pemerhati sukan, Dean Jones berpendapat, penyertaan Kane bakal menambah sengat di bahagian serangan The Red Devils kendalian Erik ten Hag pada perpindahan musim panas nanti.
Menurut The Times, Tottenham Hotspur berharap dapat menghalang Manchester United daripada mendapatkan Kane dengan menuntut bayaran pendahuluan sebanyak £100 juta (RM554.4 juta).
Bagaimanapun, skuad Lilywhites mungkin tiada pilihan selain membiarkan pemain berusia 29 tahun itu meninggalkan kelab dengan baki kontrak kapten England itu bakal tamat pada musim panas 2024.
Jones percaya United boleh menemui beberapa kombinasi yang baik dengan Kane dalam posisi serangan di depan Fernandes, Antony dan Rashford untuk musim depan.
Kontrak semasa Kane bakal tamat pada musim panas 2024. — Agensi
Bercakap kepada Givemesport, Jones memberitahu, Kane boleh menjadi tumpuan kepada gandingan trio The Red Devils itu.
“Lariannya dan bagaimana dia suka turun akan membolehkan trio itu masuk ke belakang pada masa-masa tertentu.
"Saya rasa mereka boleh menemui beberapa kombinasi yang bagus dengan Kane di sana (Old Trafford),” katanya.
Setelah membuktikan dirinya sebagai pemain yang berkebolehan dalam Liga Perdana Inggeris selama bertahun-tahun, Kane akan menjadi tambahan yang sangat baik kepada barisan hadapan Ten Hag.
Penjaring terbanyak England itu menjaringkan 23 gol dan memberikan dua bantuan gol menerusi 30 penampilannya musim ini.
Bagaimanapun, penjaring ketiga terbanyak sepanjang masa Liga Perdana itu tidak datang dengan tanda harga yang murah.
Dengan purata penarafan WhoScored 7.49, ia meletakkan Kane sebagai pemain berprestasi terbaik dalam skuad Tottenham musim ini.
Oleh itu, jika Kane berhasrat untuk berpindah ke Old Trafford pada musim panas ini, Ten Hag berpeluang menjadikan The Red Devils sebagai pencabar kejuaraan Liga Perdana musim depan. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram