Exco Sukan Selangor beri 'update' terkini status Stadium Shah Alam


  • Podium
  • Isnin, 17 Apr 2023

Tangkap layar video teaser pembaharuan Stadium Shah Alam yang bakal dilaksanakan kelak. — Facebook/ MBI

PELAKSANAAN pembangunan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) meliputi pembaharuan Stadium Shah Alam berjalan lancar dengan dapatan input daripada semakan lapangan di pameran awam menerima maklum balas yang positif.

Pengerusi Jawatankuasa Generasi Muda, Sukan dan Modal Insan, Mohd Khairuddin Othman berkata, pihaknya yakin jawatankuasa khas projek kini sedang meneliti untuk memulakan proses tender projek berkenaan.

"Perkembangan projek Stadium Shah Alam setakat ini berjalan lancar dan townhall pun kita dah dibuat.

"Rata-rata orang ramai memberikan komen positif melalui pameran awam yang dijalankan. Saya yakin jawatankuasa khas sedang meneliti untuk nak tender out bagi memulakan projek tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Iftar Menghargai Jasa Atlet pada Isnin yang turut dihadiri Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Dalam majlis sama, kerajaan negeri turut menyumbang RM22,500 kepada 45 Jawatankuasa Penduduk dan RM10,000 untuk Majlis Permuafakatan Penduduk (MPP) Saujana Utama.

Sementara itu, ketika ditanya bila tender akan dikeluarkan, Mohd Khairuddin berkata, beliau perlu merujuk butiran lanjut dengan pihak jawatankuasa khas projek.

"Berkaitan tanah tapak projek pula, saya ingat masih dalam proses lagi oleh jawatankuasa sama untuk kenal pasti tanah," katanya.

Pembangunan KSSA di Seksyen 13, Shah Alam akan turut diselaraskan seiring dengan pembinaan Aliran Transit Ringan (LRT) 3 yang melalui kawasan berkenaan.

Stadium baharu dengan kapasiti maksimum 45,000 penonton itu turut dilengkapi sistem simpanan air bawah tanah (UWSS) daripada susun atur yang dicadangkan.

Hal tersebut adalah satu unsur yang penting kerana Seksyen 13 Shah Alam (lokasi stadium Shah Alam) ialah kawasan yang mudah dibanjiri air. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram