KELAB Bola Sepak Selangor akan mengambil tindakan undang-undang yang sewajarnya terhadap isu kontrak 'bocor' seorang pemain import Selangor FC seperti yang disebarkan oleh sebuah laman Facebook penyokong pada Isnin.
Selangor FC menerusi satu kenyataan memaklumkan tindakan undang-undang itu termasuk pemfailan laporan kepada pihak Polis Diraja Malaysia, Kementerian Komunikasi dan Multimedia dan pihak berkuasa lain yang berkaitan.
Pada masa sama, Selangor FC turut menafikan kandungan posting itu yang antara lain menyebut bahawa pemain import itu menerima pendapatan berjumlah lebih RM132,000 sebulan tidak termasuk imbuhan lain untuk kontrak setahun, dan pilihan lanjutan selama setahun.
"Kelab mengambil maklum berkenaan satu kandungan yang disebarkan di media sosial dan kemudiannya dilaporkan oleh agensi media lain, yang mengandungi dakwaan mengenai gaji seseorang individu di dalam kelab.
Tangkap layar status laman penyokong Harimau Selatan X. — Facebook
"Kelab ingin merekodkan bahawa kandungan posting tersebut adalah palsu, tidak tepat dan dianggap fitnah. Kelab menafikan sekeras-kerasnya menggaji mana-mana individu dengan skala gaji yang didakwa di dalam siaran media sosial tersebut.
"Kelab tidak akan mengulas lanjut mengenai perkara ini sementara menunggu prosiding undang-undang," katanya pada Isnin.
Selangor FC mengutuk sekeras-kerasnya penyebaran maklumat palsu yang boleh merosakkan imej kelab yang bertujuan untuk menimbulkan keresahan dan menggugat kestabilan lebih-lebih lagi sambil bersembunyi di sebalik tabir tanpa nama.
"Kelab juga ingin memberi jaminan kepada penyokong bahawa pihaknya kini berada atas landasan yang baik dalam pelbagai aspek dan akan kekal komited terhadap nilai Selangor FC yang berteraskan integriti, ketelusan dan keadilan dalam membina sebuah kelab bola sepak yang kukuh dan berjaya, di atas mahupun di luar padang." katanya.
Terdahulu Majoriti melaporkan salah seorang pemain import Selangor FC dilaporkan menerima gaji setinggi AS$30,000 (RM132,660) sebulan, berdasarkan tawaran kontrak yang 'bocor' di media sosial.
Berdasarkan dokumen tersebut, kelab yang berpangkalan di Lembah Klang itu dipercayai membayar sebanyak RM1.59 juta setahun hanya untuk khidmat seorang pemain import dengan tidak termasuk bayaran lain seperti yuran tandatangan dan bayaran kepada ejen.
Sementara itu, pada Ahad, pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Idris mengadakan satu sesi temubual eksklusif di mana baginda turut menyentuh mengenai isu gaji pemain.
Dalam kenyataan TMJ, baginda mendedahkan bahawa gaji pemain muda terbaiknya iaitu Arif Aiman tidak sampai RM25,000, manakala gaji penyerang import utamanya Bergson da Silva pula hanya kira-kira RM1.3 juta (AS$300,000) setahun. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram