Persis Stadium Tottenham, 'retractable pitch' stadium baharu Selangor bakal saingi SSI


  • Podium
  • Khamis, 26 Jan 2023

Tangkap layar video teaser pembaharuan Stadium Shah Alam yang bakal dilaksanakan kelak. — Facebook

STADIUM Shah Alam yang 'sakit' ketika ini nampaknya bakal mendapat wajah baharu menerusi satu pembaharuan yang bakal dilakukan oleh Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI).

Menerusi satu posting teaser yang dimuat naik oleh MBI pada Rabu, stadium tersebut yang bakal dibangunkan sebagai Kompleks Sukan Shah Alam bakal memiliki fasiliti bertaraf dunia.

Ini termasuklah retractable pitch atau padang boleh laras seperti yang digunakan di Stadium Tottenham Hotspur di London, United Kingdom.

Kos pembinaan stadium bagi kelab Liga Perdana Inggeris, Tottenham Hotspur yang siap pada April 2019 itu dianggarkan menelan belanja RM5.26 bilion.

Menerusi video teaser itu lagi, Stadium Shah Alam baharu memiliki kapasiti tempat duduk 35,000 hingga 45,000 termasuk sektor khas untuk UltraSel Curva.

"Kami ‘tease’ korang (anda) sedikit tentang pembaharuan Stadium Shah Alam," tulis kapsyen pada posting di Facebook MBI itu.

Selain itu, Kompleks Stadium Shah Alam bakal memiliki kemudahan prasarana stesen transit aliran ringan (LRT) Stadium Shah Alam, hab transit bas, akses pejalan kaki dan laluan pejalan kaki berbumbung selain ruang legar mesra orang kurang upaya (OKU) serta ruang korporat.

Ia juga bakal memiliki kawalan kelembapan dalaman, sistem penyejukan tempat duduk dan berbumbung ETFE (polimer plastik) salutan seramik.

Dengan rekaan moden dan inovatif, stadium itu juga sesuai dijadikan ruang acara seperti penganjuran konsert berskala besar.

Di sekitar stadium, dapat dilihat pelbagai kemudahan lain bakal dibangunkan seperti taman papan selaju, taman permainan dan zon rekrasi hijau berkeluasan 310,000 meter persegi.

THFC-pitch-retracting

Stadium Tottenham Hotspur di London menggunakan teknologi padang boleh laras. — Agensi

Kompleks Stadium Shah Alam itu turut menyokong aktiviti keusahawanan kerana menyediakan ruang niaga, hotel dan ruang komersial.

Bagaimanapun menurut MBI, reka bentuk akhir tertakluk kepada perubahan dan kelulusan.

Jika pembinaan stadium itu dapat dilaksanakan mengikut pelan, ia pastinya bakal menyaingi kemegahan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) di Iskandar Puteri, Johor.

Gelanggang skuad Johor Darul Takzim (JDT) itu merupakan satu-satunya stadium bola sepak di negara ini yang menggunakan rumput asli Zeon Zoysia.

SSI pernah menerima pengiktirafan global selepas menewaskan 19 stadium lain di seluruh dunia sebagai 'Stadium Of The Year 2020' dalam undian awam yang dikendalikan laman web StadiumDB.com berpangkalan di Poland. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram