SALAH seorang pemain import Selangor FC dilaporkan menerima gaji setinggi AS$30,000 (RM132,660) sebulan, berdasarkan tawaran kontrak yang 'bocor' di media sosial.
Surat tawaran kepada import Gergasi Merah bagi musim 2023 itu didedahkan di Facebook oleh salah sebuah laman Facebook, Harimau Selatan X pada Isnin.
Dokumen tersebut bertarikh 26 Januari lalu dan turut ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif Selangor FC, Dr. Johan Kamal Hamidon.
Berdasarkan butiran tersebut, pemain yang tidak dinamakan itu menerima pendapatan berjumlah RM132,660 sebulan tidak termasuk imbuhan lain untuk kontrak setahun, dan pilihan lanjutan selama setahun.
Ini bermakna kelab yang berpangkalan di Lembah Klang itu membayar sebanyak RM1.59 juta setahun hanya untuk khidmat seorang pemain import.
Jumlah tersebut tidak termasuk bayaran lain seperti yuran tandatangan dan bayaran kepada ejen dengan jumlah menyamai gaji sebulan yang diperoleh pemain berkenaan.
Tangkap layar status laman penyokong Harimau Selatan X. — Facebook
Butiran lain meliputi tawaran kemudahan elaun rumah sebanyak RM2,500 sebulan dan bonus kemenangan RM1,000 setiap perlawanan.
Kereta disediakan oleh pasukan dan mereka turut memberikan satu tiket penerbangan kelas ekonomi buat pemain, isteri dan anak anak untuk terbang ke Malaysia.
Pemain tersebut turut akan mendapat imbuhan berasingan sekiranya berjaya membantu Selangor merangkul mana-mana kejuaraan seperti juara Liga Super, juara Piala FA dan Piala Malaysia – masing-masing bernilai AS$30,000 (lebih RM132,000).
Tidak dapat disahkan sama ada dokumen tersebut adalah dokumen sah hingga timbul persoalan bagaimana dokumen sulit itu boleh dikongsi sewenang-wenangnya di media sosial.
Ia juga bagai satu kebetulan selepas pendedahan pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada Ahad yang menyatakan ada pasukan berbelanja hingga RM2.2 juta setahun hanya untuk seorang pemain import yang disifatkan terlalu mahal.
Sementara itu, Majoriti berusaha mendapatkan Johan Kamal dan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) bagi mengulas mengenai kontrak bocor tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram