Bintang Vietnam dikhabar hampir melangkah ke Kedah, masa depan Fayadh pula jadi tanda tanya


  • Podium
  • Isnin, 17 Apr 2023

Fayadh masih menunggu untuk mendapatkan gol pertamanya bersama skuad Sang Kenari musim ini. — Facebook/KDA FC

PRESTASI membanggakan berjaya dicatatkan Kedah Darul Aman (KDA) FC selepas lapan aksi Liga Super yang mana pasukan itu mampu mengumpul 16 mata.

Kutipan tersebut hasil daripada lima kemenangan serta satu keputusan seri, sekali gus meletakkan mereka di kedudukan keempat liga.

Pencapaian itu sememangnya cukup membanggakan buat penyokong Hijau Kuning selepas mereka terpaksa menempuhi satu musim yang sedikit mengecewakan pada 2022.

Namun, meskipun perubahan yang dilakukan sudah membuahkan hasil, masih terdapat pelbagai isu perlu diperbaiki jika pihak pengurusan mahu mencapai sesuatu pada masa depan.

Antara perkara penting yang perlu ditekankan pastinya mengenai isu jentera serangan yang masih gagal menemui rentak terbaik setakat ini.

Dalam lapan perlawanan Liga Super, skuad Sang Kenari hanya menjaringkan 13 gol dengan pasukan di tangga kelima, Sabah FC sudah merekodkan 16 jaringan.

340432113_238374522036214_4062831436885414943_n (1)

Kedah masih perlu mencari solusi buat jentera serangan pasukan. Facebook/KDA FC

Jadi, dalam usaha membaiki masalah itu, KDA FC mula dikaitkan dengan perpindahan bintang skuad kebangsaan Vietnam, Nguyen Quang Hai.

Pemain sayap versatile tersebut difahamkan gagal meraih tempat bersama kelab kerdil Perancis, Pau FC apabila dia lebih kerap diturunkan pada minit-minit akhir perlawanan.

Bagaimanapun, sentuhannya di hadapan pintu gol lawan tidaklah mengecewakan setelah dia menjaringkan satu gol untuk membantu pasukannya membawa pulang satu mata ketika bertemu Rodez AF Oktober lalu.

Tetapi, dengan Quang Hai ketika ini sedang berada di kemuncak karier pada usia 26 tahun, penyerang itu pastinya berhasrat untuk beraksi dengan lebih kerap.

Oleh itu, dengan KDA FC seperti terbuka untuk membawa masuk pemain berkenaan, tidak hairanlah apabila khabar angin mula bertiup kencang mengaitkan kedua-dua pihak.

Ura-ura terbabit diterbitkan laman Instagram Palatao Bola yang melihat kelab Utara tanah air itu sebagai destinasi terbaik buat Quang Hai.

"Selain Chanathip, Nguyen Quang Hai adalah bintang utama Asia Tenggara. Sejak sertai Pau FC, karier Quang Hai menurun dan penyokong Vietnam risau lihat prestasinya di Piala AFF 2022," tulisnya.

ya7anji537m4ponkuofh

Quang Hai merupakan salah seorang tonggak skuad kebangsaan Vietnam ketika ini. Agensi

Dalam 52 penampilannya bersama skuad kebangsaan Vietnam, Quang Hai sudah menjaringkan 10 gol, termasuk beberapa daripadanya muncul dalam kejohanan Piala AFF.

Namun, melihat kepada latar belakang serta gaya permainannya, KDA FC bagaimanapun terpaksa menepikan khidmat graduan akademi kelab, iaitu Fayadh Zulkifli Amin.

Selain kerap diturunkan di kawasan sayap, Fayadh juga sering diberikan peluang untuk beraksi sebagai pemain tengah menyerang di belakang penyerang skuad.

Ia dapat disaksikan musim lalu apabila dia menikmati satu musim terbaik dengan empat gol dan tiga bantuan jaringan dalam 22 penampilan Liga Super.

Bagaimanapun, selepas lapan penampilan kali ini, pemain berusia 24 tahun itu masih kebuntuan untuk merobek gawang gol lawan termasuk ketika aksi Piala FA Mac lalu.

Tetapi, dengan status perpindahan Quang Hai hanya bersifat khabar angin, terdapat kemungkinan besar KDA FC tidak akan memilih untuk menepikan Fayadh demi bintang Vietnam itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram