Gayat di puncak Piala MFL, Hai-O dijulang, fans anggap TFC II umpama JDT


  • Podium
  • Isnin, 17 Apr 2023

Skuad simpanan Terengganu FC II terus menjadi buah mulut penyokong bola sepak tanah air. — Facebook/TFC II

EMPAT kemenangan berturut-turut termasuk dalam aksi Piala FA sedikit sebanyak membuktikan Terengganu FC sudah mula berada dalam prestasi terbaik.

Kemaraan positif itu juga meletakkan mereka di kedudukan keenam Liga Super memandangkan mereka memulakan kempen musim ini dengan langkah kiri.

Meskipun lawan yang mereka tempuhi tidaklah terlalu mencabar, pengendali pasukan, Tomislav Steinbruckner pastinya semakin yakin dengan sentuhannya bersama pasukan terbabit.

Prestasi meyakinkan itu juga dirasakan rata-rata penyokong Sang Penyu yang pada awalnya sangsi akan kebolehan skuad kali ini selepas satu rombakan dibuat sepanjang jendela perpindahan lalu.

Namun, di sebalik peningkatan tersebut, luahan di media sosial seperti mendapati peminat setia Terengganu FC lebih tertarik akan kemampuan skuad simpanan mereka.

Pasukan yang ketika ini beraksi dalam saingan Piala MFL itu berada di bawah kendalian legenda bola sepak tempatan, Hairuddin Omar yang juga merupakan anak jati Setiu, Terengganu.

341443673_6013762605345348_7640874100395945654_n

Hairuddin mempamerkan bakatnya dalam bidang kejurulatihan bersama skuad Sang Penyu. Facebook/TFC II

Dia yang sebelum ini bersama-sama bekas pengendali Sang Penyu, Nafuzi Zain sememangnya disebut-sebut sebagai pengganti walaupun tidak memiliki pengalaman mencukupi dalam bidang kejurulatihan.

Tetapi, dengan Tomislav dipilih pihak pengurusan, Hairuddin diberi kepercayaan untuk mengendalikan Terengganu FC II bagi memberikan pendedahan lebih baik.

Peluang berkenaan diambil sebaik mungkin oleh bekas penyerang kebangsaan itu dengan membantu pasukan tersebut berada di tangga teratas Kumpulan A Piala MFL.

Hal itu sememangnya membuktikan kemampuan Hairuddin memandangkan mereka perlu bersaing di samping dua pasukan hebat, Johor Darul Takzim II (JDT II) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC B.

Pencapaian itu diraih selepas Terengganu FC II mengumpul tiga mata dalam kesemua tujuh perlawanan, termasuk kemenangan bergaya 4-1 ke atas Kelantan United FC II.

Jadi, tidak hairanlah apabila penyokong semakin tertarik akan kebolehan serta gaya permainan skuad kendalian Hairudin yang berpotensi menjulang trofi Piala MFL menjelang akhir musim ini.

341467088_614678463862669_1776282341495759300_n

TFC II jauh meninggalkan PDRM FC yang berada di tangga kedua Kumpulan A Piala MFL. Facebook/MFL

Lebih menarik lagi, ada juga yang menyamakan skuad simpanan Sang Penyu dengan pasukan senior JDT yang sedang menerajui carta Liga Super musim ini.

"Wahh, tahniah TFC II, main sedap dan tahniah juga perlu diberikan kepada Hai-O (Hairuddin) dan pasukan simpanan. Dah macam JDT dalam liga," kata Halim Turbo.

"Terbaik Hai-O sebagai ketua jurulatih dan juga anak-anak buah yang ketika ini bersama dalam TFC II, memang padu ubi-ubi muda," kata Osman Man.

"Masih mengekalkan rekod tanpa kalah, semoga rekod itu dapat dikekalkan sehingga akhir musim. TFC II, anda boleh lakukannya," kata Zakaria Isa.

Berdasarkan peraturan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), empat pasukan daripada kedua-dua kumpulan berpeluang layak ke peringkat seterusnya.

Selain TFC II, tiga pasukan lain yang berpeluang untuk layak merupakan PDRM FC, KDA FC B dan JDT II yang mana juga tidak kurang hebatnya setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram