KEMENANGAN 3-0 yang dicatatkan Johor Darul Takzim (JDT) dalam aksi peringkat 16 pasukan Piala FA ke atas PDRM FC mengesahkan kelayakan mereka ke suku akhir.
Dua gol daripada Bergson da Silva dan satu hasil sumbangan Leandro Velazquez meletakkan mereka dengan jurang selesa seawal minit ke-27.
Meskipun asakan demi asakan dibuat, kekentalan dipamerkan benteng pertahanan pasukan pelawat menyaksikan skuad Harimau Selatan gagal menambah jaringan.
Namun, bagi rata-rata penyokong JDT, taktik licik yang dilakukan penjaga gol PDRM FC, Aqil Abdul Razak menjadi punca anak-anak buah Esteban Solari sedikit buntu di hadapan pintu gol.
Pemain berusia 25 tahun itu dilihat beberapa kali memanggil staf kejurulatihan untuk diberikan rawatan sepanjang 90 minit permainan.
Aqil (kuning) dilihat beberapa kali merebahkan badan ketika aksi menentang JDT. — Media sosial
Ia dikatakan mengganggu rentak jentera serangan JDT yang cukup dikenali dengan ketajaman mereka di hadapan pintu gol lawan seperti mana dipamerkan dalam Liga Super musim ini.
Jadi, dengan kekalahan 0-3 itu, ketua jurulatih, Azzmi Aziz pastinya tidak terlalu kecewa dengan persembahan Aqil selain yakin akan taktiknya untuk melengahkan perlawanan.
Bagaimanapun, insiden itu bukanlah yang pertama dengan pemain Liga Super cukup terkenal membuang masa sehingga dipandang negatif dalam kalangan penyokong lawan.
Berikut Majoriti menyenaraikan tiga nama yang amat dikenali dalam melengahkan perlawanan sehingga sukar dilupakan penyokong bola sepak tanah air.
1. Syihan Hazmi
Penjaga gol kebangsaan, Syihan Hazmi cukup terkenal dengan kemampuannya untuk mengecewakan jentera serangan pasukan di samping bijak melakukan hantaran kepada rakan sepasukan.
Reputasinya sebagai benteng pertahanan terakhir cukup baik sehingga memaksa JDT untuk membuat tawaran yang sukar ditolak ketika jendela perpindahan lalu.
Namun, namanya mula meningkat apabila dia menjadi salah seorang tonggak Negeri Sembilan FC yang menamatkan Liga Super di kedudukan keempat pada 2022.
Hal itu termasuk ketika dia dikatakan dengan sengaja melengah-lengahkan perlawanan ketika aksi menentang JDT di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Negeri Sembilan.
Dalam perlawanan berkenaan, pemain kelahiran Kelantan itu dilihat seolah-olah sengaja melewat-lewatkan sepakan gol sehingga dilayangkan kad kuning.
Syihan (kanan) sempat berinteraksi bersama pegawai di tepi padang musim lalu.
Lebih menarik perhatian lagi, Syihan turut dilihat sempat berinteraksi bersama petugas di tepi padang sehingga ada yang melabel momen itu sebagai 'insiden budak Milo'.
Bagaimanapun, jaringan Fernando Forestieri pada minit-minit akhir permainan memastikan tiga mata milik JDT, namun nama penjaga gol itu sukar untuk dilupakan.
Selepas menyertai JDT, Syihan sekali lagi membuktikan kredibilitinya dengan memastikan gawang gol JDT hanya dibolosi sebanyak sekali dalam lapan perlawanan Liga Super setakat ini.
2. Ifwat Akmal
Kehadiran Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi yang menyertai Kedah Darul Aman (KDA) FC sememangnya berjaya meningkatkan lagi keupayaan benteng pertahanan pasukan.
Dia yang beraksi buat Petaling Jaya (PJ) City FC pada musim lepas meneruskan prestasi membanggakan, sekali gus meraih kepercayaan ketua jurulatih, Nafuzi Zain.
Namun, bagi segelintir penyokong Hijau Kuning, keberadaan pemain senior, Ifwat Akmal Chek Kassim tidak boleh dipandang rendah.
Pemain berusia 26 tahun itu terpaksa disisihkan daripada pasukan selepas mengalami kecederaan dengan penampilan terakhirnya adalah ketika sesi pramusim skuad Sang Kenari.
Walaupun kerap melakukan kesilapan apabila diturunkan, pengalamannya sejak dibawa masuk ke dalam skuad senior pada 2016 tidak boleh dipandang rendah.
Ifwat diberikan amaran selepas dengan sengaja melengah-lengahkan permainan.
Selain sering diberi kepercayaan untuk memakai lilitan kapten, Ifwat juga dikatakan bijak dari segi permainan minda untuk mengganggu fokus pihak lawan.
Ia termasuk kecenderungannya untuk melengah-lengahkan permainan seperti mana yang dilakukan Syihan dan Aqil sehingga sukar dilupakan peminat bola sepak tempatan.
Tetapi, pendekatan itu pastinya hadir dengan risiko tersendiri apabila pengadil perlawanan berasakan tindakan itu akan merencatkan permainan buat kedua-dua pasukan.
Antara insiden yang menyaksikan taktik licik itu memakan diri adalah ketika aksi Liga Super 2022 antara KDA FC dan Sabah FC di Stadium Darul Aman, Kedah.
Skuad Sang Kenari yang ketika itu mendahului pasti hendak mengekalkan kelebihan sehingga memaksa Ifwat mengganggu rentak perlawanan pada separuh masa pertama.
Berang dengan tindakan itu, pengadil perlawanan, Nazmi Nasaruddin memilih untuk memberi amaran dengan suara lantang sehingga didengari orang ramai di kaca televisyen masing-masing.
3. Sunday Afolabi
Musim lalu, Perak FC dilihat tidak mempunyai sebarang masa depan cerah dengan pasukan berkenaan terus bergelut dalam Liga Perdana.
Kualiti pemain dan isu dalaman menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) gagal mencatatkan momen bermakna dengan mereka menamatkan musim di tangga kedua tercorot.
Namun, di sebalik tahun yang cukup muram itu, penyokong masih boleh tersenyum dengan kehadiran pemain import, Sunday Afolabi.
Selain memiliki kelebihan dari segi fizikal, kesungguhannya setiap kali beraksi sedikit sebanyak memberi pasukan kendalian Yusri Che Lah mengumpul beberapa mata bermakna.
Tidak cukup dengan itu, personalitinya yang beraksi dengan senyuman dan bahasa tubuh positif menjadikannya sukar untuk dilupakan rata-rata penyokong TBG.
Gelagat Afolabi yang menjadi perhatian media antarabangsa. — Facebook/Perak the YOB
Bagaimanapun, satu-satunya momen yang sememangnya terus segar dalam ingatan rata-rata peminat setia Perak FC adalah ketika dia melengahkan masa semasa aksi Liga Perdana menentang Kelantan FC.
Pasukannya yang ketika itu mendahului memasuki minit ke-85 permainan di tempat lawan sedang menunggu rawatan diberikan kepada pemain skuad Seladang.
Sunday yang ketika itu sedang dibelenggu perasaan gembira mengambil masa meraikan kelebihan bersama penyokong Perak FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kelantan.
Bagaimanapun, pertahanan tuan rumah, Latiff Suhaimi seperti dengan sengaja melanggar Sunday sebelum pemain kelahiran Nigeria itu merebahkan badannya.
Tindakan tersebut disusuli dengan raungan sebanyak lapan kali di samping dia terus memegang kakinya agar pengadil perlawanan melayangkan kad kuning kepada pihak lawan.
Lebih menarik lagi, sebuah agensi media berpangkalan di England, Daily Mail mengiktiraf kelakuan Sunday dengan menganugerahkannya 'Fallon d'Floor' yang terus menjadi bahan bualan antarabangsa. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram