Macam salah posisi pun ada, ketahui 3 pertahanan Liga Super layak dilabel penyerang digeruni


  • Podium
  • Sabtu, 15 Apr 2023

Tiga tonggak pertahanan yang seolah-olah mempunyai penyudah tajam sebagai seorang penyerang pada musim ini.

PENYERANG merupakan pemain penting yang sering mendapat tumpuan penyokong kerana merekalah akan ditugaskan untuk melakukan percubaan untuk menjaringkan gol buat pasukan.

Namun tidak dapat dinafikan, tidak semua pemain yang bermain di posisi berkenaan dapat melakukan tugas dengan baik sehingga mereka akan mendapat kritikan daripada penyokong kerana gagal menterjemahkan peluang kepada jaringan gol.

Dalam saingan Liga Super musim ini juga, terdapat beberapa penyerang sama ada import mahupun tempatan masih tidak berhasil untuk meraih gol peribadi mereka dan lebih mengejutkan rekod tersebut dipintas terlebih dahulu oleh tonggak pertahanan.

goulan

Musim ini, Goulan sudah mencetak dua jaringan buat skuad Jang.

Seorang pemain yang beraksi sebagai pertahanan amat jarang untuk mencetak jaringan kerana mereka selalunya akan ditugaskan untuk menghalang pasukan lawan daripada menjaringkan gol.

Musim lepas, saingan Liga Super 2022 menyaksikan tonggak pertahanan Negeri Sembilan FC (NSFC), Herold Goulon muncul sebagai pertahanan paling berbisa di depan gol dengan mencetak sebanyak enam jaringan dan tiga hantaran bantuan.

Saingan Liga Super musim ini, terdapat tiga tonggak pertahanan yang berhasil menunjukkan ketajaman mereka dalam meledak gol:

1) Stefano Brundo (Sri Pahang FC)

WhatsApp Image 2023-04-14 at 21.27.03

Brundo mencetak lima gol buat Sri Pahang bagi saingan Liga Super. — Facebook/SriPahang

Pemain pertahanan dari Argentina, Stefano Brundo merupakan tonggak import baharu Sri Pahang FC bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini dan menandatangani kontrak selama satu musim bersama skuad Tok Gajah.

Meskipun kali pertama beraksi di luar Amerika Latin, bekas pemain kelab Primera B Nacional, Estudiantes BA itu dilihat sangat cepat untuk menyesuaikan diri dengan suasana liga tempatan dan kini menjadi antara tonggak utama Sri Pahang.

Diturunkan sebagai kesebelasan utama skuad Tok Gajah dalam lapan perlawanan Liga Super, Brundo sememangnya tidak mensia-siakan kepercayaan pengendali, Fandi Ahmad apabila menjaring lima gol buat pasukan Pantai Timur itu.

Rekod itu turut membolehkan dia menduduki carta penjaring ketiga terbanyak bersama Arif Aiman, Ayron Del Velle dan Park Tae-su, selain sebagai pertahanan tunggal yang turut tersenarai dalam carta terbabit.

Sebelum ini, Fandi memuji persembahan Brundo dengan menyifatkan pemain itu sebagai individu yang bijak dan bekerja keras kerana berani mengubah posisinya dari pertahanan tengah ke bahagian tengah.

2) Corbin Ong (Johor Darul Takzim)

WhatsApp Image 2023-04-14 at 21.25.25

Corbin menyumbangkan dua gol buat skuad Harimau Selatan. — Facebook/JDT

Bukan sahaja dilabel sebagai bek kiri terbaik Malayasia,, La’vere Corbin Ong juga pernah mencetuskan fenomena apabila tersenarai dalam kelompok pertahanan terbaik pada kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2022.

Walaupun musim ini, pemain kelahiran Barbados-Malaysia itu jarang menjadi kesebelasan utama Johor Darul Takzim (JDT) namun ia bukan alasan buat Corbin untuk tidak memberikan 100 peratus apabila diturunkan oleh pengendali, Esteban Solari.

Musim ini, pemain berusia 31 tahun itu hanya tampil dalam enam perlawanan dari lapan aksi Liga Super namun sudah menyumbang dua gol dan kedua-duanya ketika Harimau Selatan berpesta gol 7-0 menewaskan skuad Jang di Stadium Paroi, Negeri Sembilan.

Dua jaringan daripada Corbin juga menyebabkan ada penyokong membandingkannya dengan pemain sayap JDT, Akhyar Rashid yang masih mencari-cari gol sulungnya musim ini bersama Harimau Selatan.

3) Akmal Zahir

WhatsApp Image 2023-04-14 at 21.26.53

Akmal semakin mencuri tumpuan pada musim ini. — Facebook/KDAFC

Akmal Zahir hadir di kem Kedah Darul Aman (KDA) FC pada jendela perpindahan kedua musim lepas bagi mengisi kekosongan posisi pertahanan tengah yang ditinggalkan Jang Suk-won dan skali gus membantu Sang Kenari menghadapi baki saingan Liga Super dan Piala AFC.

Tidak terlalu menyerlah pada musim lepas namun tahun ini Akmal berhasil mencuri perhatian penyokong apabila sering menjadi pilihan utama ketua jurulatih, Nafuzi Zain untuk menjaga kubu pertahanan Kedah.

Bukan sahaja menggalas tugas sebagai pertahanan kental, Akmal juga memberi sumbangan dalam bentuk jaringan gol yang mana bekas pemain Melaka United itu sudah merekodkan dua gol buat skuad Hijau Kuning.

Kedua-dua golly dicetak ketika menentang Kuching City bagi bagi aksi kelima Liga Super, satu jaringannya mencuri tumpuan susulan Akmal melakukan rembatan deras dari luar kotak penalti.

Penyokong menyifatkan jaringannya ketika membantu Sang Kenari menang 3-0 itu sebagai rembatan berkelas dunia dan berpotensi untuk dicalonkan dalam anugerah Puskas. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram