Dilabel 'The Unsung Hero', ‘Akhyalti’ hiasi aksi JDT tumbangkan Sang Saka Biru


  • Podium
  • Jumaat, 14 Apr 2023

Akhyar (depan) ketika aksi menentang skuad The Cops pada pusingan kedua Piala FA di SSI pada Jumaat. — Facebook/ JDT

WALAUPUN meletakkan lima pertahanan bagi memastikan gawang mereka tidak bolos dengan jaringan besar namun PDRM FC masih gagal untuk menyekat serangan daripadan juara bertahan Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT).

JDT menepati ramalan apabila menumpaskan skuad The Cops dengan keputusan 3-0 dalam pada pusingan kedua Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat.

Skuad Harimau Selatan dilihat tidak mempunyai masalah mara ke peringkat suku akhir Piala FA apabila jaringan awal hadir pada minit ketiga menerusi tandukan dari Bergson Da Silva yang dihantar tepat dari gandingannya, Arif Aiman Hanapi.

Dua jaringan pada separuh masa pertama pula dihasilkan menerusi sepakan penalti apabila tonggak sayap, Akhyar Rashid diterjah oleh pemain skuad Sang Saka Biru pada minit kesembilan dan ke-23.

Sepakan penalti disempurnakn oleh Bergson pada minit ke-12 dan Leandro Velazquez pula mengambilnya pada minit ke-27, kedua-duanya dengan mudahnya menewaskan penjaga gol PDRM FC, Aqil Razak.

Mengumpul sebanyak dua kad kuning pada awal permainan dan kesilapan yang dilakukan oleh anak-anak buah Azzmi Ab. Aziz sendiri jelas menjadi duri dalam daging buat pasukan PDRM FC.

Memasuki babak kedua, di awal lima minit perlawanan sedikit terganggu apabila berlaku pertelingkahan antara tonggak pertahanan PDRM, James Okwuosa dan Bergson.

WhatsApp Image 2023-04-14 at 23.10.00

Bergson ketika mengambil sepakan penalti buat pasukan Harimau Selatan. — Facebook/ JDT

Pergaduhan tercetus lagi pada minit ke-82 apabila berlaku tolakan daripada pemain PDRM, Marcus Macauley terhadap arkitek tengah JDT, Nazmi Faiz Mansor.

Dalam pada itu, melihat reaksi penyokong di media sosial, rata-ratanya bercakap mengenai situasi yang dihadapi Akhyar ketika perlawanan berkenaan kerana pemain berusia 23 tahun itulah menjadi watak penting kepada dua jaringan penalti pada aksi berkenaan.

“Akhyalti!! Kelincahan dan kebijaksanaan dia menghadiahkan sesuatu untuk JDT, Tetapi masih tak berebut nak ambik sepakan penalti. Unsung hero orang Eropah kata,” kata penyokong JDT, Pejuang Solo.

“Akhyar bukan berlakon tapi memang pertahanan lawan melakukan kesalahan,” komen seorang lagi penyokong Harimau Selatan, Anjang Iszz.

“Akhyar memang penyumbang besar untuk pasukan dapat penalti. Dia susah nak cari gol tapi senang cari penalti,” tambah seorang penyokong, Muhd Azrul Hisyam.

Selepas ini, PDRM FC akan bertembung sekali lagi dengan JDT dalam aksi ke-9 saingan Liga Super di Stadium MBPJ pada 19 April. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram