Dikhabarkan sertai kelab bintang pinjaman TRW, peluang anak jati Pasir Puteh isi slot De Murga


  • Podium
  • Sabtu, 15 Apr 2023

De Murga menyertai skuad TRW pada awal musim 2023 dengan tawaran kontrak sehingga Disember tahun ini. — Instagram/Carli

TIDAK sampai setengah musim bersama Kelantan FC, pertahanan import dari Filipina, Carli De Murga dikhabarkan membuat keputusan untuk meninggalkan kelab Pantai Timur itu lebih awal daripada kontraknya.

Pemain yang dibawa masuk dari pasukan gergasi Liga Super, Johor Darul Takzim (JDT) itu menyertai skuad The Red Warriors (TRW) pada awal musim 2023 dengan tawaran kontrak sehingga Disember tahun ini.

Perkara tersebut dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dan dia mengatakan bahawa De Murga difahamkan akan menyertai salah satu kelab yang beraksi dalam saingan Liga 1 Indonesia.

Khabar angin berkenaan diperkukuhkan apabila bekas tonggak Terengganu FC (TFC) itu tidak diturunkan pada perlawanan Piala FA 2023 ketika anak-anak buah Frank Bernhardt turun menentang kelab Liga M3, Manjung City yang menyaksikan skuad TRW mencatat kemenangan 3-0.

Antara kelab Liga 1 Indonesia yang dikaitkan dengan De Murga ialah PSS Sleman, Persis dan juga Dewa United iaitu pasukan kepada pemain sayap pinjaman Kelantan FC, Natanael Siringoringo.

Siringoringo yang ketika ini dipinjamkan ke kelab Liga 1 Indonesia, Dewa United FC menjadi antara watak penting ketika membantu Kelantan FC cuba bangkit dengan menamatkan saingan Liga Perdana 2021 di tangga keenam.

Keputusan De Murga untuk berhijrah ke negara jiran itu juga dikaitkan dengan krisis yang menimpa pasukan Kelantan, yang mana skuad TRW didakwa tidak membayar gaji pemain serta kurang cakna akan kebajikan pemain.

WhatsApp Image 2023-04-15 at 15.19.19

Yusri dipilih untuk menjadi kesebelasan utama bagi mengisi pemergian De Murga. — Instagram/Yusri

Tidak dinafikan penyokong yang sedih dengan pemergian De Murga kerana pemain kebangsaan Filipina itu juga antara tunjang utama pada awal musim ini dan dia sudah diturunkan dalam enam perlawanan Liga Super.

Namun begitu, jika dilihat pada sudut lain kehilangan De Murga adalah peluang untuk anak jati Pasir Puteh, Yusri Yuhasmadi diturunkan sebagai kesebelasan utama menggantikannya di posisi pertahanan tengah.

Yusri musim ini lebih banyak menjadi pemain gantian dan hanya mengumpul sebanyak 402 minit permainan dalam tujuh perlawanan Liga Super jika dibandingkan pada musim lepas ketika saingan Liga Perdana. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram