'Siapa cepat dia dapat', 5 pemain bintang tempatan masih status 'free agent'


  • Podium
  • Jumaat, 14 Apr 2023

Azammuddin Akil (kiri) ketika mewakili JDT menentang KDA FC.

JENDELA perpindahan kedua Liga Malaysia (Liga M) dijangka dibuka pada Julai bagi memberi peluang pasukan bertanding dapat menambah baik skuad masing-masing.

Pastinya pertukaran pemain import akan berlaku apabila mereka tidak boleh beraksi dengan baik sepanjang pusingan pertama liga.

Selain daripada import, beberapa pemain tempatan yang berstatus bintang turut masih belum mempunyai pasukan.

Pasukan yang dilihat bergelut ataupun inginkan rombakan kecil dalam pasukan boleh mendapatkan pemain-pemain ini yang sudah terbukti mempunyai pengalaman luas dalam Liga M.

Majoriti senaraikan lima pemain bintang tempatan yang masih belum mempunyai pasukan menjelang jendela perpindahan kedua liga.

Azzizan-Nordin-Penang-4-819x1024

Azizzan Nordin musim lalu mewakili Penang FC. Facebook/Penang FC

1. Azizzan Nordin

Pemain berasal dari Bongawan, Sabah itu mula mendapat perhatian ketika mewakili skuad Sang Badak selepas tamat berkhidmat dengan Harimau Muda B.

Kelab terakhir diwakili oleh pemain berusia 28 tahun ialah Penang FC selama satu tahun sebelum dilepaskan pada musim ini.

Azizzan boleh bermain di posisi tengah dan terkenal dengan kekuatan fizikalnya sekali gus boleh beraksi sebagai tengah bertahan.

Pemain berketinggian 1.69 meter ini pernah beraksi bersama Harimau Malaya pada 2019 dalam aksi persahabatan menentang Sri Lanka.

d465efcec343febfca829c1566e402d64947a502

Zamir ketika mewakili KL City FC. Agensi

2. Zamir Selamat

Bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) ini boleh dilabelkan antara penjaga gol terbaik ketika zaman kegemilangannya.

Musim lalu Zamir beraksi bersama Perak FC sebelum memilih untuk meninggalkan pasukan dan kini masih belum tiada kelab.

Pemain berusia 33 tahun itu sudah mewakili 11 pasukan dalam Liga Malaysia dan pastinya dia kaya dengan pengalaman sebagai penjaga gol.

Halim

Halim ketika beraksi bersama Selangor FC. Facebook/Selangor FC

3. Halim Saari

Halim Saari baharu sahaja pulih daripada kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) yang dialami pada awal musim 2021 namun kini berstatus sebagai 'free agent'.

Pemain berusia 28 tahun itu merupakan tonggak tengah yang cukup berkualiti untuk memperkuatkan lagi bahagian serangan mahupun pertahanan.

Dengan pengalaman Halim dalam saingan Liga Malaysia dan rekod cemerlangnya yang pernah pernah membantu pasukan Hijau Kuning menjulang Piala FA pada 2017 pasti bukan menjadi alasan besar untuk dia berkongsi kemahirannya bersama pasukan baharu.

Musim lalu Halim mewakili Selangor FC sebelum dia dilepaskan oleh skuad Gergasi Merah.

1866733

Shahril ketika beraksi dalam perlawanan play-off Liga Juara-Juara Asia (ACL). Facebook/KDA FC

4. Shahril Sa'ari

Pernah mewakili Kedah Darul Aman FC (KDA FC) di peringkat tertinggi Asia dalam Kejohanan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC.

Pengalaman Shahril perlu diakui selepas berjaya membantu pasukan Sang Kenari untuk layak ke tahap itu.

Sebelum ini, pemain kelahiran negeri Terengganu itu disebut-sebut sebagai individu yang bakal menggalas tugas sebagai penjaga gawang Kelantan.

Ia berikutan pengalaman dan prestasi memberangsangkan yang dipamerkan semasa mewakili KDA FC.

1852164

Alex musim lalu beraksi untuk KDA FC.

5. Azammuddin Akil

Seorang pemain penyerang dan sayap yang cukup terkenal dalam kalangan penyokong-penyokong bola sepak tempatan.

Dikenali sebagai Alex, pemain itu mula beraksi untuk Pahang, Shahzan Muda, UPB-MyTeam, JDT, Selangor dan Kedah sebelum dilepaskan pada musim ini.

Sepanjang kariernya, Azamuddin meraih 10 trofi termasuk Liga Super, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih dan Piala FA.

Azamuddin juga antara yang membantu negara untuk bergelar naib juara dalam Piala AFF pada 2014. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram