PENJAGA gol Kuala Lumpur City FC (KL City FC), Azri Ghani menjadi antara nadi kemenangan sulung skuad The City Boys ketika menewaskan Sabah FC, pada Rabu lepas.
Azri menunjukkan kemampuannya menjaga gawang KL City FC daripada dibolosi selepas diberi kepercayaan untuk berada dalam kesebelasan utama menggantikan penjaga gol utama, Kevin Ray Mendoza.
Perlawanan tersebut berakhir dengan kemenangan pertama skuad Warga Kota dalam liga musim ini menerusi T. Saravanan (minit ke-15) dan Sean Giannelli (minit ke-95).
Bercakap mengenai tahap kecergasannya ketika menjalani latihan sepanjang Ramadan, Azri berkata, dia perlu memastikan badannya mendapat rehat dan nutrisi mencukupi.
"Latihan untuk persiapan menghadapi perlawanan ketika Ramadan memang berbeza daripada hari-hari biasa.
"Persediaan dari segi pemakanan dan rehat lain daripada kelaziman tapi itu bukan satu masalah buat kita, yang penting kita kena kerja keras," katanya kepada Majoriti.
Azri mempamerkan aksi cemerlang ketika menentang Sabah FC. — Facebook KL City
Penjaga gol berusia 23 tahun itu berkata, latihan pada bulan Ramadan dijalankan pada malam hari, jadi penting untuk dia berbuka puasa dengan makanan yang ringan namun memberikan tenaga kepada tubuh.
"Apabila ada latihan malam dalam pukul 10 macam tu, saya tak sentuh makanan dalam kuantiti yang banyak.
"Lepas habis latihan, baru sambung makan sebab nak elak rasa kenyang terlampau semasa menjalani latihan," katanya yang akan balik beraya di Kelantan tahun ini bersama keluarga tercinta.
Tambahnya, dia juga perlu mengawal kuantiti makanan untuk menjaga berat badan selain memastikan kecergasan tubuh berada di tahap optimum.
"Dari segi diet tu kena jaga dan pandai kawal portion makanan sebab nak kekalkan berat badan serta kecergasan.
Azri menjadi antara nadi kemenangan sulung skuad The City Boys ketika menewaskan Sabah FC, pada Rabu lepas. — Facebook KL City
"Kalau ke bazar Ramadan tu memang suka tengok juadah-juadah yang disediakan tapi yang jadi kegemaran saya ialah nasi kerabu," ujarnya.
Kemenangan ke atas Sabah FC bukan saja menyuntik keyakinan kepada anak-anak buah Bojan Hodak untuk mendaki kedudukan liga.
Bahkan, ia juga memberi keyakinan kepada Azri untuk meneruskan persembahan cemerlangnya dalam perlawanan seterusnya menentang Perak di Stadium Cheras, Kuala Lumpur, pada Isnin.
Untuk rekod, Azri pernah menjadi wira KL City selepas membantu pasukan menewaskan kelab Vietnam, Viettal FC di separuh akhir Zon Asean Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) apabila menyelamatkan percubaan demi percubaan termasuk penentuan penalti yang berkesudahan menang 6-5.
Penjaga gol berketinggian 1.77 meter itu juga beraksi cemerlang pada separuh akhir Antara Zon Piala AFC apabila skuad The City Boys menewaskan kelab India, ATK Mohun Bagan dengan 3-1.
KL City FC kini berada di kedudukan kesembilan dengan mengumpul enam mata manakala Perak FC dalam kelompok lima terakhir iaitu di tangga ke-11. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram