'Saya tak tahu nak cakap macam mana', Guerra terkedu ditanya mana hilangnya Cabrera


  • Podium
  • Rabu, 12 Apr 2023

Guerra pernah menggegarkan bola sepak Malaysia bersama-sama Cabrera sekitar tahun 2017. — Agensi

KEBERADAAN bekas pemain import sensasi, Johor Darul Takzim (JDT), Gonzalo Cabrera menjadi tanda tanya dalam kalangan penyokong Harimau Selatan.

Kali terakhir pemain itu menyarungkan jersi JDT ialah pada Ogos 2021 ketika aksi Liga Super menentang Sri Pahang FC.

Cabrera akhirnya dilepaskan kelab JDT pada penghujung musim 2021 walaupun dia pernah berada di dalam rancangan JDT untuk menjadi pemain naturalisasi.

Sejak meninggalkan JDT, Cabrera terus hilang dari radar dan menyepi dalam dunia bola sepak tempatan.

Bekas rakan duo serangan di JDT, Gabriel Guerra juga tiada jawapan tentang keberadaan Cabrera ketika ini.

Screenshot 2023-04-12 134909

Tangkap layar komen Guerra di Instagram. — Instagram @gaby.guerra93

Ketika ditanyakan oleh peminat mengenai ke mana hilangnya Cabrera selepas tamat kontrak di JDT, Guerra di Instagram menegaskan dia sendiri tidak tahu di mana pemain tersebut.

“Saya sendiri tidak tahu nak beritahu apa. Kerana saya sendiri tidak tahu apa-apa,” ujar Guerra menjawab pertanyaan seorang penyokong @aimanhaziq00 di ruangan komen Instagramnya.

Sebelum ini, pengusaha Fire Barber di Johor Bahru, Johor, Arif Rahimi Saifulizam pernah mendedahkan bahawa Cabrera berkemungkinan masih ada di Malaysia.

"Apa yang dengar masa slow talk dengan Cabrera, dia cakap - I finished contract, no football, no career, stop. (Saya habis kontrak, tiada lagi bola sepak, karier sebagai pemain bola).

"Saya ada hubungi adik ipar dia, dapat contact apa semua terus dia kata Gonzalo (Cabrera) ada kat sini (Malaysia), cuma dia tak nak orang cari dia. Dia selesa hidup low-profile," katanya.

Guerra pernah menggegarkan bola sepak Malaysia bersama-sama Cabrera sekitar tahun 2017. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram