KEDAH Darul Aman FC (KDA FC) mengalami kekalahan teruk 0-6 kepada pasukan JDT ketika saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor pada Ahad.
Skuad Harimau Selatan memperoleh gol menerusi jaringan Fernando Forestieri, Feroz Baharuddin, Oscar Arribas, Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Leandro Velazquez.
Pemain Sang Kenari pula hanya mampu berputih mata di kandang lawan kerana bukan sahaja bolos dengan jaringan besar, malah gagal meraih sebarang mata.
Di sebalik pertarungan yang cukup panas itu, ia tidak menjejaskan hubungan baik di luar padang antara bintang import KDA FC, Manuel Hidalgo dengan rakan senegaranya yang beraksi di Harimau Selatan.
Aksi Hidalgo dan Forestieri ketika saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Ahad lepas. — Facebook/ JDT
Gambar yang dikongsikan pemain dari Argentina itu di Instagram miliknya, @manu_hidalgo99 menunjukkan bahawa dia dan Fernando Forestieri hanya bermusuhan di padang tetapi mempunyai hubungan baik di luar.
Dalam gambar tersebut, Hidalgo dilihat meluangkan masa berlibur bersama Forestieri dan isterinya, Andria Forestieri di sebuah lokasi pelancongan dalam negara.
Menerusi foto itu juga, Forestieri dilihat asyik memanggang daging barbeku di balkoni hotel yang berlatarbelakangkan panorama laut.
"Always nice to see good people. Gracias por todo (Bertuah dapat bertemu dengan orang yang baik, terima kasih untuk segalanya) Fernando Foriestieri, Andria Forestieri," tulis Hidalgo di foto tersebut.
Tangkap layar foto Hidalgo di Instagram Story. — Instagram
Hubungan baik kedua-dua pemain itu bukanlah rahsia bagi penyokong yang mengikuti karier bola sepak mereka sejak dari awal.
Hidalgo yang bermain di posisi sayap KDA FC dan Forestieri sebagai penyerang JDT ialah bekas pemain kelab England, Sheffield Wednesday.
Kelab tersebut merupakan sebuah pasukan Inggeris yang kini beraksi di Football League One, liga ke-3 dalam hierarki bola sepak Inggeris.
Kedua-duanya pernah berkongsi kelab dan jurulatih sama pada musim terakhir mereka diikat kontrak bersama kelab berkenaan pada musim 2020.
Forestieri dan Hidalgo ketika bersama-sama di kelab Sheffield Wednesday. — Agensi
Malah Hidalgo, 23, sebelum ini pernah menyatakan bahawa Forestieri yang 10 tahun lebih tua daripadanya adalah idolanya di Sheffield Wednesday.
"Forestieri adalah pemain yang sangat bagus. Saya akui dia adalah antara pemain terbaik di Malaysia setakat ini.
"Saya sudah lama bekerjasama dengan dia dan saya banyak belajar daripadanya ketika kami di Sheffield Wednesday," katanya.
Ketika ini, JDT gah di persada carta dengan 24 mata hasil kemenangan daripada lapan perlawanan manakala KDA FC di tangga keempat dengan 16 mata. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram