KUAT khabar angin ketika ini yang mengaitkan bahawa pemain sayap kebangsaan, Safawi Rasid tidak akan menghabiskan tempoh pinjamannya di kelab Thailand, Ratchaburi FC.
Meskipun keyakinannya dilihat cukup berbeza sejak meninggalkan Johor Darul Takzim (JDT), perbezaan ketara dari segi tempo permainan menyukarkannya untuk mendapatkan rentak.
Ia dibuktikan apabila pemain kelahiran Dungun, Terengganu itu hanya mencetak satu gol peribadi dalam 11 penampilannya bersama skuad The Dragons.
Statistik berkenaan pastinya cukup merisaukan Safawi secara peribadi dengan kedudukannya dalam skuad Harimau Malaya menjelang kejohanan Piala Asia 2023 semakin goyah.
Baru-baru ini, terdapat ura-ura mengatakan dua kelab Pantai Timur, Sri Pahang FC dan Kelantan FC difahamkan berminat untuk mendapatkan khidmatnya ketika jendela perpindahan kedua Liga Malaysia.
Safawi sepertinya masih bergelut sepanjang berada dalam Liga Thailand. — Facebook/Ratchaburi FC
Hal berkenaan dilihat cukup sesuai memandangkan kedua-dua pasukan itu bergelut dari segi serangan, lebih-lebih lagi di posisi sayap masing-masing.
Kualiti yang dimiliki Safawi, baik dari segi hantaran mahupun gelecak sudah tentu menjadi satu daya tarikan walaupun bakatnya semakin malap bersama JDT.
Namun, melihat kepada landskap bola sepak tempatan hari ini, terdapat dua lagi pasukan yang lebih sesuai untuk membawa masuk pemain berusia 26 tahun terbabit.
Kelab tersebut adalah Perak FC dan Kedah Darul Aman (KDA) FC dengan kedua-dua mereka sepertinya antara destinasi terbaik buat Safawi.
Pandangan itu berpunca daripada tiga faktor yang mungkin akan menarik kapten skuad kebangsaan itu setelah kontraknya tamat di perantauan.
1. Kehadiran jurulatih berkualiti
Kehadiran Fandi Ahmad sebagai pengendali Sri Pahang FC sememangnya tidak boleh dipandang rendah memandangkan dia cukup berpengalaman dalam bidang kejurulatihan.
Malah, musim ini, sentuhannya bersama skuad Tok Gajah juga tidak luntur memandangkan kedudukan pasukan itu yang berada di tangga ketiga Liga Super setakat ini.
Bagaimanapun, Perak FC yang dikendalikan Datuk Lim Teong Kim sementara KDA FC di bawah kendalian Nafuzi Zain juga tidak kurang hebatnya.
Pengalaman yang diraih Teong Kim ketika bersama-sama skuad remaja Bayern Munich sudah tentu menjadi tarikan meskipun skuad The Bos Gaurus (TBG) sedikit bergelut musim ini.
Kehadiran Nafuzi berjaya mengubah nasib skuad Sang Kenari. — Facebook/KDA FC
Namun, isu tersebut tidaklah berpunca daripada pengendali kelahiran Melaka itu memandangkan pasukan berkenaan dibarisi pemain muda dan sedang menyesuaikan diri dalam Liga Super.
Bagi KDA FC pula, kehadiran Nafuzi yang menggantikan Aidil Sharin Sahak sememangnya membuahkan hasil dengan skuad Sang Kenari sedang berada di tangga keempat selepas lapan perlawanan.
Kemampuannya untuk membawa Terengganu FC muncul sebagai naib juara Piala FA dan Liga Super musim lalu membuktikan bahawa dia merupakan jurulatih dengan potensi terbaik ketika ini.
Oleh itu, Safawi pastinya lebih tertarik untuk berkelana ke Utara tanah air untuk mengembangkan lagi bakatnya di bawah jagaan jurulatih yang berpotensi.
2. Struktur kewangan yang kukuh
Isu kebajikan dalam arena bola sepak tempatan sepertinya tidak pernah lekang dengan Kelantan FC menjadi tumpuan selepas dikhabarkan pemain tidak menerima gaji bulanan.
Perkongsian segelintir daripada mereka sepertinya mendedahkan bahawa pihak pengurusan kelab tidak menjaga kebajikan, termasuk ketika mereka dalam proses pemulihan.
Meskipun pemilik kelab, Norizam Tukiman merupakan seorang usahawan tempatan yang bejaya, isu berkenaan seolah-olah menutup ruang buat mana-mana pemain untuk berhijrah ke kelab berkenaan.
Bagi Sri Pahang pula, struktur kewangan pasukan dilihat lebih kukuh memandangkan tiada isu kelewatan pembayaran gaji meskipun mereka masih di bawah naungan Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang (PBNP).
Namun, seperti mana yang diketahui, pasukan itu masih bergelut sepanjang berada dalam sesi latihan memandangkan tiada fasiliti lengkap untuk tujuan tersebut.
Kehadiran XOX Pro Sport Sdn Bhd banyak mengubah nasib skuad TBG. — Facebook/Perak FC
Perkara sebaliknya pula berlaku di KDA FC dan Perak FC dengan kedua-dua pasukan berkenaan menerima suntikan kewangan yang cukup memberangsangkan musim lalu.
Bagi skuad TBG, kemelut kewangan sepertinya tidak akan berlaku selepas syarikat telekomunikasi, XOX Berhad melalui anak syarikatnya, XOX Pro Sport Sdn Bhd.
Skuad Sang Kenari juga dilihat semakin kukuh selepas usahawan kelahiran Kedah, Tan Sri Mohd Daud Bakar diumumkan pemegang saham majoriti kelab hujung tahun lalu.
Meskipun kedua-dua mereka masih jauh jika hendak dibandingkan dengan JDT, langkah yang dipamerkan kedua-dua kelab sering membuahkan hasil, baik di atas mahupun di luar padang.
Jadi, dengan Safawi masih berteka-teki untuk memilih destinasi berikutnya, KDA FC dan Perak FC dilihat lebih sesuai dari segi kewangan pasukan.
3. Rakan sepasukan
Tidak boleh dinafikan bahawa skuad Tok Gajah memiliki lambakan pemain yang cukup berpengalaman, termasuk beberapa pemain import.
Dari JDT sahaja, pasukan berkenaan memilih untuk membawa masuk empat individu veteran iaitu Fadhli Shas, Syazwan Andik, Azrif Nasrulhaq dan Izham Tarmizi.
Kesemua pemain itu pastinya cukup sinonim dengan Safawi memandangkan mereka pernah beraksi bersama-sama selain berada dalam sesi latihan yang sama.
Namun, dengan jurang usia antara mereka dan Safawi, ia pastinya sedikit janggal buat Safawi, lebih-lebih lagi untuk dia mencipta keserasian di atas padang.
Tetapi, sekiranya dia memilih untuk berkelana ke Perak FC, dia berpotensi untuk sekali lagi bersama-sama bermain di samping graduan akademi JDT, Hadi Fayyadh Abd Razak.
Safawi berpeluang untuk bersama adiknya, Alfi buat sekali lagi. — Facebook/KDA FC
Walaupun kedua-dua pemain itu jarang beraksi ketika di bawah satu kelab, terdapat kemungkinan besar mereka dapat mencipta gandingan serasi bagi memacu jentera serangan skuad TBG.
Sekiranya dia memilih untuk berhijrah ke KDA FC pula, ia akan menandakan bahawa Safawi akan kembali berada dalam sesi latihan bersama adiknya, Alfi Rasid.
Alfi yang sebelum ini berada dalam skuad simpanan JDT turut memilih untuk berhijrah beberapa hari selepas Safawi memilih untuk mencari angin baharu.
Meskipun kedua-dua mereka sukar untuk mendapatkan minit permainan secara bersama-sama, ia pastinya cukup istimewa untuknya sekali lagi mengadakan sesi latihan di bawah satu bumbung. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram