TIADA angin tiada ribut, pemain sayap lincah negara, Safawi Rasid dikhabarkan akan meninggalkan Liga 1 Thailand, Ratchaburi FC lebih awal daripada yang dijangka.
Pada penghujung musim lalu, Safawi menyertai kelab Ratchaburi FC secara pinjaman daripada Johor Darul Takzim (JDT) selama semusim bagi mengisi kuota pemain import Asean pasukan tersebut.
Pemain berusia 26 tahun itu memilih untuk berkelana di negara jiran untuk mendapatkan minit permainan selain membantu memperoleh pengalaman baharu di suasana berbeza.
Safawi diperkenalkan secara rasmi sebagai pemain Ratchaburi pada Januari lalu. — Agensi
Namun lain pula jadinya apabila, pemain kelahiran Terengganu itu dikhabarkan akan pulang awal ke tanah air dan desas-desus mengatakan Safawi kini berada dalam radar salah satu kelab berpangkalan di Pantai Timur.
Berdasarkan khabar angin yang bertebaran di media sosial, pemain kelahiran Dungun, Terengganu ini difahamkan akan mengikut jejak langkah pemain JDT lain dengan menyertai Sri Pahang FC.
Meskipun belum ada sebarang pengesahan daripada kelab Tok Gajah mahupun Safawi namun bukanlah perkara mengejutkan jika bekas tonggak Terengganu itu memilih untuk meninggalkan Liga Thailand.
Berikut Majoriti menyenarikan tiga faktor Safawi bakal tinggalkan Liga 1 Thailand lebih awal;
1) Rekod jaringan yang belum memuaskan
Safawi mulai beraksi sebagai pemain JDT pada 2020. — Instagram/Safawi
Meskipun bukan penjaring utama namun posisinya sebagai pemain barisan hadapan adalah untuk membantu pasukannya menjaringkan gol dan ataupun membantu dalam membuat hantaran bantuan.
Selepas tampil dalam 11 perlawanan dalam saingan Liga 1 Thailand bersama skuad The Dragons, Safawi hanya mampu mencetak satu gol dan ia bukanlah rekod jaringan yang cukup memuaskan sebagai seorang tonggak sayap.
BACA LAGI: Bukan Pantai Timur, tapi ada 3 sebab Perak dan Kedah destinasi terbaik buat Safawi
Jika dibandingkan dengan tonggak sayap kanan JDT, Arif Aiman yang mempunyai posisi sama dengan Safawi, pemain berusia 20 tahun itu sudah meledak lima gol dan lima hantaran selepas lapan perlawanan Liga Super bersama Harimau Selatan.
Oleh itu, adalah wajar jika Safawi ataupun pihak Ratchaburi sendiri mengambil keputusan untuk menggugurkan pemain berkenaan lebih awal daripada kontraknya.
2) Piala Asia semakin hampir
Kali terakhir Safawi menyarung jersi Harimau Malaya ketika kempen Piala AFF 2022 pada Disember lalu. — Instagram/Safawi
Setiap pemain Malaysia pasti menyimpan hasrat untuk mendapat panggilan kebangsaan terutamanya ke kejohanan Piala Asia yang akan diadakan di Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari 2024.
Safawi juga antara pemain yang berharap untuk dipanggil pengendali Kim Pan-gon pada kejohanan tertinggi Asia itu dan ia akan menjadi mustahil jika tonggak JDT itu tidak mempamerkan persembahan terbaik bersama Ratchaburi.
Baru-baru ini sahaja, Safawi digugurkan daripada senarai 27 pemain Harimau Malaya bagi menghadapi dua Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan dan Hong Kong.
Bagi memikat semula hati jurulatih dari Korea Selatan itu, Safawi berkemungkinan akan mengambil inisiatif menyertai Sri Pahang FC untuk mengeluarkan semula potensinya barisan serangan dan sekali gus mengumpul minit permainan.
3) Safawi tidak sesuai dengan Liga Thailand
Safawi menjaringkan gol sulungnya bersama skuad The Dragons ketika aksi Liga 1 Thailand pada Mac lalu. — Instagram/Safawi
Keputusan untuk berhijrah kembali ke Liga Malaysia juga mungkin disebabkan gaya permainan Safawi tidak mencapai tahap Liga 1 Thailand.
Umum mengetahui bahawa Liga 1 Thailand antara liga yang cukup kompetitif di Asia Tenggara dan kualitinya juga jauh lebih baik berbanding liga tempatan.
Pandangan berkenaan diperkuatkan lagi dengan perkongsian daripada Liridon Krasniqi yang mengatakan terdapat perbezaan besar antara liga utama Thailand dan Malaysia termasuk daripada segi ketekalan permainan dan tahap profesional.
Pemain naturalisasi negara itu sebelum ini menyarung jersi beraksi bersama kelab Liga 1 Thailand, Khon Kaen United pada musim 2022. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram