Posisi menyamai Willian Lira, adik Safawi Rasid diramal 'naik pangkat'


  • Podium
  • Jumaat, 31 Mac 2023

Alfi pernah beraksi bersama pasukan liga amatur Terengganu FC, Dspex FC dan berhijrah ke JDT III pada 2020. — Facebook/KDAFC

NAMA penyerang Kedah Darul Aman (KDA) FC, Willian Lira menjadi antara nama pemain yang sering diperdebatkan dalam kalangan penyokong Sang Kenari dan rata-ratanya membincangkan mengenai prestasinya.

Pemain yang dibawa masuk pada Januari awal tahun ini itu mendapat kepercayaan pengendali KDA FC, Nafuzi Zain untuk mengemudi jentera serangan namun sehingga kini Lira masih tidak menunjukkan kualiti seorang penyerang.

Lihat sahaja pada stastiknya bersama KDA FC seawal lima perlawanan ini yang mana dia hanya menjaringan dua gol dengan satu daripadanya adalah hasil sepakan penalti sewaktu pasukan Hijau Kuning menewaskan Perak FC 4-1.

Rekod yang dianggap kurang memuaskan membuatkan para penyokong mulai mempersoalkan kebolehannya dan pengendali legenda Kedah, Azraai Khor Abdullah juga pernah mengkritik pemain berusia 29 tahun itu.

WhatsApp Image 2023-03-31 at 16.02.37

Lira antara pemain yang mendapat kritikan daripada penyokong Kedah. — Facebook/KDAFC

Menurut Azraai Khor, Lira tidak mempunyai firasat untuk melakukan percubaan mencetak gol dan menterjemahkan dalam bentuk jaringan dan itu sudah cukup membuktikan bahawa dia bukanlah seorang penyerang tulen yang baik

Oleh itu, bekas pengendali Sang Kenari itu menyarankan agar pihak kejurulatihan segera cepat mencari pengganti sekiranya Lira kekal dengan prestasi yang sama sehingga pertengahan musim nanti.

Nampaknya, pihak pengurusan Sang Kenari sudah terlebih dahulu membuat rancangan sendiri apabila pemain dari skuad simpanan, KDA FC B iaitu Alfi Rasid dilihat turun sesi latihan pasukan utama.

Lebih menimbulkan spekulasi dalam kalangan penyokong apabila pemain berusia 22 tahun itu menyarung jersi latihan bernombor sembilan yang mana diketahui nombor tersebut adalah kepunyaan Lira.

WhatsApp Image 2023-03-31 at 16.02.57

Tangkap layar hantaran dari Palatao Bola.

Meskipun tidak pernah membuat sebarang penampilan bersama skuad KDA FC B namun pengalamannya di Johor Darul Takzim (JDT) mungkin menjadi antara alasan menarik minat Nafuzi untuk menggunakan khidmat adik kepada pemain sayap negara, Safawi Rasid itu.

Alfi yang juga bermain sama posisi seperti abangnya di bahagian sayap sebelum ini merupakan pemain daripada pasukan liga amatur Terengganu FC, Dspex FC dan berhijrah ke JDT III pada 2020.

Kejayaan Alfi bersama skuad Harimau Selatan apabila dia berhasil membantu JDT III menjuarai Piala Presiden 2022 dan kini bersama KDA FC, dia mulai perlahan-lahan membina pentas kejayaan buat dirinya.

Pemain muda itu dijangka menggantikan posisi Lira dan akan diturunkan pada aksi menentang Sri Pahang pada 1 April ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram