Rashford cedera: Nampak macam tak bagus, hanya mampu berdoa — Ten Hag


  • Podium
  • Ahad, 09 Apr 2023

Rashford (kanan) dikeluarkan pada minit ke-81 selepas mengalami kecederaan ketika menewaskan Everton pada Sabtu. — Agensi

PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag menyalahkan jadual perlawanan kelab yang padat sehingga menyebabkan penyerang, Marcus Rashford mengalami kecederaan ketika menentang Everton di Stadium Old Trafford, England pada Sabtu.

Ten Hag berkata, dia hanya mampu berdoa kecederaan Rashford itu tidak serius selepas kemenangan ke atas Everton dengan keputusan 2-0 dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL).

"Ada perkara yang anda tidak mampu kawal.

"Mengapa penganjur memberikan kami perlawanan lewat malam Ahad dan perlawanan awal Sabtu? Saya fikir ia tidak betul, kerana anda menghadapi risiko, pemain tidak boleh pulih sepenuhnya.

"Sains dan penyelidikan sudah membuat kajian beri tahu anda bahawa pemain memerlukan tempoh tertentu untuk pulih selepas perlawanan," kata Ten Hag.

Tambahnya lagi, dia berbangga dengan prestasi pasukannya yang mengekalkan mereka di kedudukan empat teratas, namun kecewa apabila memikirkan kehilangan Rashford.

United bakal menghadapi kepadatan jadual selepas ini apabila akan menerima kunjungan Sevilla dalam suku akhir Liga Europa dan perlawanan EPL di Nottingham Forest pada Ahad.

“Ia adalah sebahagian daripada jadual dan kini kami mendapati diri kami dalam situasi ini, kami hanya boleh berdoa agar Rashford tidak cedera,” ujarnya.

Pemain Belanda itu tidak menjelaskan secara terperinci tahap kecederaan pemain kelahiran England itu.

"Saya tidak boleh katakan pada masa ini apakah status kecederaan Rashford.

"Kita perlu tunggu untuk diagnosis dan lihat apa keputusannya," jelasnya.

Ten Hag ditanya mengapa dia tidak mengeluarkan Rashford selepas pasukannya mendahului 2-0.

"Soalan adil," jawab pengurus United itu, sambil menambah bahawa dia mahu memberi Rashford dan pemain gantian separuh masa kedua lebih banyak masa bermain bersama.

"Ia perlawanan demi perlawanan. Kami tahu apa yang kami mampu dan kami lihat pasukan ini masih boleh bertambah baik," tambahnya. — Reuters

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram