Bekas kapten antara 13 pemain dengarnya bakal tinggalkan Manchester United


  • Podium
  • Selasa, 11 Apr 2023

Maguire (kanan) dan de Gea dilaporkan sudah tidak berada dalam pelan jangka masa panjang Manchester United. — Agensi

PENGURUS Manchester United, Erik ten Hag difahamkan sedang mempersiapkan rancangan untuk terus meningkatkan kualiti skuad The Red Devils.

Kelab yang ketika ini berada di tangga keempat Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dilihat mempunyai peluang untuk layak ke Liga Juara-Juara UEFA (UCL) musim depan.

Tidak cukup dengan itu, kemaraan mereka ke suku akhir Liga Europa UEFA (UEL) juga boleh menjadi tiket terbaik untuk Manchester United layak ke pertandingan berprestij itu tahun depan.

Oleh itu, melihat kepada pasukan itu ketika ini, terdapat pelbagai penambahbaikan perlu dibuat, lebih-lebih lagi dalam jentera serangan mereka.

Berdasarkan khabar angin ketika ini, juara 13 kali EPL itu difahamkan sedang cuba mendapatkan penyerang Tottenham Hotspur, Harry Kane atau tonggak Napoli, Victor Osimhen.

harry-kane-2

Kane dikhabarkan semakin hampir untuk menyertai Manchester United. — Agensi

Jika ten Hag berharap untuk membawa masuk beberapa wajah baharu, mereka dikhabarkan terpaksa melepaskan sehingga 13 pemain agar struktur kewangan pasukan tidak terbeban.

Laporan media antarabangsa ketika ini sedang hangat menyenaraikan kesemua yang berpotensi meninggalkan skuad The Red Devils selepas khidmat dan kebolehan masing-masing semakin merudum kebelakangan ini.

Bekas kapten, Harry Maguire dikhabarkan menjadi antara nama yang terpaksa mencari majikan baharu ketika jendela perpindahan akan datang.

Kebolehan pemain berusia 30 tahun itu sedikit terjejas musim ini dengan pengurus kelahiran Belanda itu lebih berminat untuk menurunkan Lisandro Martinez dan Raphael Varane.

Dua pemain yang sering dilanda isu kecederaan, Donny van de Beek dan Anthony Martial juga dikhabarkan sedia untuk meninggalkan Manchester United.

Pemain antarabangsa England, Aaron Wan-Bissaka turut disebut-sebut sebagai calon yang tidak akan lagi bersama kelab itu dengan posisinya ketika ini diisi Diogo Dalot atau Luke Shaw.

man-utd-quintet-luke-shaw-jadon-sancho-aaron-wan-bissaka-eric-bailly-david-de-gea

Wan-Bissaka (tengah) dan Bailly (kanan) dilaporkan akan meninggalkan Stadium Old Trafford. — Agensi

Anthony Elanga juga difahamkan tidak berada dalam pelan jangka masa panjang ten Hag dengan penyerang berusia 20 tahun tersebut hanya beraksi sebanyak lima kali sepanjang musim.

Sementara itu, beberapa laporan lain turut menyebut dua pertahanan yang ketika ini sedang dipinjamkan, iaitu Alex Telles dan Eric Bailly tidak akan lagi berkhidmat bersama skuad The Red Devils pada musim akan datang.

Penyerang sayap muda, Jadon Sancho juga sepertinya perlu berusaha dengan lebih keras selepas menempuhi satu lagi musim yang mengecewakan di Stadium Old Trafford, Manchester tahun ini.

Tiga lagi pemain di posisi penjaga gol dan pertahanan iaitu David de Gea, Phil Jones dan Victor Lindelof juga dikhabarkan tidak lagi diperlukan memandangkan Manchester United berjaya membawa masuk beberapa nama besar setakat ini.

Jeneral tengah antarabangsa Scotland, Scott McTominay juga sepertinya bersedia untuk meninggalkan pasukan tersebut selepas kehilangan tempat kepada Casemiro.

Bagaimanapun, dengan jendela perpindahan hanya akan berlangsung pada Jun akan datang, masih terdapat masa untuk kesemua pemain di atas mempamerkan kebolehan masing-masing. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram