PASUKAN Negeri Sembilan FC (NSFC) gagal memanfaatkan peluang bermain di laman sendiri untuk mengutip tiga mata penuh dalam pertembungan dengan Sabah FC di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Seremban, Negeri Sembilan pada Isnin.
Skuad Jang yang mendahului di babak pertama perlawanan diikat 1-1 dengan Sabah FC hingga wisel penamat dibunyikan.
Gol NSFC dihasilkan pada minit ke-21 oleh bekas pemain Sang Badak, Tommy Mawat Bada yang berkhidmat dengan skuad Jang musim ini.
Pemain tengah itu menyempurnakan sepakan percuma untuk memastikan Negeri Sembilan selesa di depan sehingga tamat separuh masa pertama perlawanan.
Bersambung di babak kedua, Negeri Sembilan FC menguasai perlawanan dengan beberapa percubaan namun tidak berjaya menggegarkan gawang pelawat yang dikawal kemas Damien Lim.
Sabah FC akhirnya menemukan gol yang dicari selepas menyamakan kedudukan ketika permainan berbaki 14 minit menerusi tandukan kapten pasukan, Park Tae-su.
Keputusan kekal hingga tamat permainan yang menyaksikan kedua-dua pasukan mengutip satu mata dengan Sabah di tangga kelima dengan 14 mata manakala NSFC di tangga kesembilan dengan sembilan mata.
Meskipun meraih keputusan seri, ada penyokong Sabah yang berasakan pasukan itu boleh beraksi dengan lebih baik sekali gus membawa pulang tiga mata penuh.
"Seri bolehlah tapi kita mahu mutu perlawanan tu... macam mana mahu main di Piala AFC, macam mana mahu jadi pencabar JDT.
"Tapi okey la terbang pulang ke Likas dengan satu mata selepas tewas dalam perlawanan kepada KL City FC tempoh hari," kata Mad Jaim.
"Okey la seri 1-1... janji jangan kalah... minit-minit akhir baru Sabah dapat rentak. Teruskan menyokong, nampak mental pemain masih down lagi (ekoran kekalahan lepas)," kata Amal Syah.
Penyokong NSFC pula kurang berpuas hati dengan taktikal Ketua Jurulatih, K Devan yang dilihat selesa bermain bertahan selepas memperoleh satu gol.
"Taktikal macam biasa, leading satu kosong main bertahan...sayap tiada fungsi langsung untuk sokong pemain menyerang.
"Nak suruh Casagrande lari seorang diri agaknya untuk buat gol...," kata Azizul Hakim.
Sabah FC akan menerima kunjungan Kelantan FC di Stadium Likas pada 19 April depan, manakala NSFC pula akan bertemu Perak pada hari sama. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram