Ejen Frank Bernhardt minta fans sabar, bakal bawa import bukan 'scammer' bersama TRW


  • Podium
  • Selasa, 11 Apr 2023

Antara aksi pemain Kelantan FC ketika perlawanan menentang Selangor FC di Stadium MBPJ pada Ahad. — Facebook/TRW

ISU dalaman melibatkan Kelantan FC menjadi tajuk utama dibahaskan dalam kalangan penyokongnya dan ia bermula apabila pihak pengurusan membuat kejutan untuk menyingkirkan ketua jurulatih, Choi Moon-sik pada 4 April lalu.

Perkara tersebut dimulakan dengan campur tangan ejen ketua jurulatih dari Korea Selatan tersebut iaitu Leo Jeong yang tidak henti-henti mendedahkan kisah dalaman pasukan berkenaan.

Selain kontroversi itu, skuad The Red Warriors (TRW) juga terpaksa menerima kecaman daripada penyokong yang menzahirkan rasa tidak puas hati dengan prestasi pasukan dalam saingan Liga Super musim ini.

Mana tidaknya, pasukan Pantai Timur itu sudah merekodkan kekalahan enam kali dan hanya meraih satu kemenangan serta satu seri selepas mengharungi lapan perlawanan Liga Super.

Oleh itu, tidak peliklah jika sebahagian penyokong bertindak menggantung sepanduk sebagai tanda protes kepada pemilik pasukan, Norizam Tukiman.

Di sebalik cerita kurang enak mengenai Kelantan itu, hadir berita baik disajikan buat penyokong TRW mengenai perkembangan pasukan menjelang jendela perpindahan kedua nanti.

Ejen bola sepak, Sherif Ahmed Mostafa mengesahkan pasukan tersebut sedang membuat persiapan untuk membawa masuk beberapa tonggak import baharu bagi membantu memperkukuhkan TRW.

Untuk rekod, Sherif Ahmed juga ejen kepada pengendali baharu Kelantan, Frank Bernhardt yang dilantik bagi menggantikan posisi Moon-sik.

WhatsApp Image 2023-04-11 at 18.36.33

Tangkap layar Insta Story Sherif Ahmed.

Menerusi laman Insta Story miliknya, Sherif Ahmed juga mengakui prestasi Kelantan bertambah baik semasa perlawanan menentang Selangor FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ahad lalu meskipun tewas 0-3.

“Kelantan FC bermain semakin baik jika dibandingkan dengan perlawanan lalu. Ada peluang untuk menjaring tapi nasib tidak menyebelahi Kelantan.

“Tolong bersabar. Pusingan kedua nanti pihak pengurusan akan membawa masuk pemain import terbaik untuk membantu memperbaiki kedudukan pasukan,” katanya.

Melihat kepada reaksi penyokong, ramai peminat TRW mula berharap agar ada sinar baharu buat kelab kesayangan mereka itu pada pusingan kedua Liga Super nanti dan pemain import yang dibawa masuk bukanlah import 'scammer'.

Penyokong TRW mungkin tidak akan mendapat import 'scammer' kali ini kerana Soony yang dibawa masuk oleh Sherif Ahmed sudah membuktikan kebolehannya apabila meledak empat gol selepas lapan perlawanan Liga Super musim ini.

Sherif Ahmed bukan sahaja ejen kepada penyerang import Penang FC itu, malah dia juga membawa masuk bekas pemain sayap Kedah Darul Aman (KDA) FC, Rabih Ataya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram