Umpama permata skuad senior, ada 3 sebab Fazrul patut ubah angin ke Sang Kenari


  • Podium
  • Selasa, 11 Apr 2023

Khabar angin mengatakan Fazrul mula dipancing KDA FC selepas bermain dengan cemerlang bersama skuad TRW. — Facebook/TRW Kelantan FC

KEDUDUKAN di tangga ke-13 selepas lapan perlawanan pastinya cukup mengecewakan buat Kelantan FC selepas sudah melakukan pelaburan sepanjang jendela perpindahan lalu.

Meskipun ada yang mengatakan perubahan ketua jurulatih menjadi punca di sebalik kemerosotan itu, prestasi pasukan Pantai Timur itu sememangnya goyah sejak awal musim lagi.

Antara punca utama yang boleh disimpulkan atas kemelut di atas padang skuad The Red Warriors (TRW) adalah kesukaran pemain untuk membangunkan keserasian antara satu sama lain.

Hal itu berbangkit selepas Kelantan FC gagal merancang sesi pramusim dengan sebaiknya sehingga menyukarkan bekas ketua jurulatih, Choi Moon-sik untuk mencari formasi terbaik buat pasukan.

Tidak cukup dengan itu, kelewatan pihak pengurusan kelab untuk menandatangani pemain juga boleh dikategorikan sebagai sebab kemerosotan mendadak pasukan itu.

Setakat ini, hanya Miguel Cifuentes dan Ismahel Akinade menikmati satu musim debut yang baik selepas menjaringkan beberapa gol di samping beraksi dengan cukup baik setiap kali diturunkan.

Namun, di sebalik nama-nama import itu, pemain tengah, Fazrul Amir Zaman dilihat sebagai permata yang mula membuktikan nilainya bersama skuad senior.

Dia yang sebelum ini beraksi bersama seteru terdekat, Kelantan United FC memilih untuk berhijrah memandangkan status skuad TRW yang lebih gah.

Kehadirannya itu juga boleh dikatakan berbaloi apabila dia sudah memperolehi dua gol Liga Super, termasuk jaringan penting ketika pasukannya meraih keputusan seri dengan Kuala Lumpur (KL) City FC 17 Mac lalu.

Jadi, tidak hairanlah apabila penyokong mula mendesak pihak pengurusan untuk tidak melepaskan anak jati negeri itu dengan mudah meskipun terdapat percubaan daripada pasukan tempatan yang lain.

Bagaimanapun, hasrat itu seperti tidak akan kesampaian apabila khabar angin kuat bertiup mengaitkan pemain berusia 23 tahun terbabit dengan perpindahan ke Kedah Darul Aman (KDA) FC.

Ura-ura berkenaan pastinya cukup merisaukan peminat setia Kelantan FC memandangkan pasukan Utara tanah air itu memiliki struktur kewangan yang lebih stabil musim ini.

Walaupun tiada pengesahan daripada mana-mana pihak setakat ini, perpindahan berkenaan dilihat cukup sesuai buat kesemua pihak yang terlibat, termasuk Fazrul sendiri.

Melihat kepada situasi terkini, terdapat tiga sebab mengapa pemain muda itu wajar mencari angin baharu dalam kariernya dengan KDA FC menjadi destinasi terbaik buatnya.

1. Nafuzi Zain

Ketua jurulatih skuad Sang Kenari, Nafuzi Zain boleh dikategorikan sebagai salah seorang pengendali tempatan terbaik dalam Liga Super musim ini.

Namanya yang mula meningkat naik sejak bersama Terengganu FC tidak perlu diperkenalkan lagi dengan kredibilitinya berjaya diteruskan ke Utara tanah air.

Selain bijak menurunkan pemain terbaik, pengendali berusia 44 tahun berkenaan juga cukup dikenali sebagai seorang yang mempunyai figura seorang bapa.

Hal itu dapat dibuktikan apabila dia memiliki satu hubungan istimewa bersama pemain sayap kebangsaan, Faisal Halim ketika kedua-dua mereka berada di Pantai Timur musim lalu.

Nafuzi-Faisal

Nafuzi (kiri) mempunyai hubungan cukup baik bersama Faisal Halim musim lalu. Facebook/Terengganu FC

Jadi, dengan Fazrul juga dilihat masih muda, ia merupakan satu platform terbaik buatnya untuk meraih lebih banyak pengetahuan dalam dunia bola sepak.

Lebih menarik lagi, faktor latar belakang juga boleh mengeratkan hubungan kedua-dua individu berkenaan dengan mereka merupakan anak jati Kelantan.

Walaupun ia tidak akan memainkan peranan besar, perkara itu sedikit sebanyak akan memudahkan Fazrul untuk menyesuaikan diri memandangkan dia tidak pernah meninggalkan negeri kelahirannya itu sepanjang karier.

Oleh itu, sekiranya Fazrul berteka-teki untuk memilih masa depannya, Nafuzi dilihat sebagai salah satu tarikan, baik di atas padang mahupun di luar padang.

2. Masa depan cerah KDA FC

Sebanyak 16 mata yang dikutip selepas lapan perlawanan meletakkan KDA FC di kedudukan keempat Liga Super dengan hanya tiga mata dibezakan dengan Selangor FC yang berada di kedudukan kedua.

Prestasi membanggakan itu membuktikan bahawa mereka berjaya bangkit selepas satu musim yang sedikit terumbang-ambing di peringkat domestik dan Asia.

Bagi penyokong Hijau Kuning, perubahan itu berpunca daripada pelaburan besar-besaran yang dibuat pemilik kelab, Tan Sri Mohd Daud Bakar.

Selain memastikan kualiti skuad ditingkatkan, usahawan ternama itu juga memberi peluang buat pemain KDA FC mengadakan sesi pramusim di Turkiye.

2017131

Pelaburan Daud Bakar (kanan) cukup penting buat Sang Kenari. Facebook/KDA FC

Jadi, ia semestinya satu langkah positif buat Sang Kenari yang sedang berusaha sedaya upaya untuk mengembalikan semula zaman kegemilangan mereka.

Tidak cukup dengan itu, mereka juga berpeluang untuk layak ke pentas Asia musim depan sekiranya berjaya menamatkan saingan Liga Super di tangga empat teratas.

Peluang tersebut pastinya sukar untuk ditolak mana-mana pemain, termasuk Fazrul yang masih muda dan berpotensi untuk meraih lebih banyak pengalaman.

Sekiranya dia memilih untuk terus kekal bersama Kelantan FC, terdapat kemungkinan dia terpaksa menamatkan karier tanpa berpeluang beraksi di peringkat lebih tinggi.

3. Kemelut dalaman Kelantan FC

Isu yang melanda pasukan Pantai Timur itu sememangnya menjadi bahan bualan peminat bola sepak tanah air, lebih-lebih lagi sejak pemecatan Moon-sik awal bulan lalu.

Perkara itu dihangatkan lagi dengan campur tangan ejen dari Korea Selatan, Leo Jeong yang mendedahkan pihak pengurusan Kelantan FC tidak memelihara kebajikan pemain.

Lebih mengeruhkan lagi keadaan adalah apabila beberapa pemain turut mendedahkan mereka berdepan masalah tunggakan gaji sehingga dua bulan.

Hal itu pastinya menjatuhkan moral rata-rata pemain dengan ada yang mula berasakan prestasi merudum skuad TRW berpunca daripada isu di luar padang.

333562412_533921005528625_9022833665338396101_n

Pemergian mengejut Moon-sik mendedahkan pelbagai kemelut dalaman TRW. Facebook/TRW Kelantan FC

Baru-baru ini, khabar angin mengatakan beberapa pemain bakal memilih untuk menebus kontrak masing-masing dan mencari pasukan baharu.

Ia dilihat sebagai satu petanda buat Fazrul untuk lebih berani dalam melakukan keputusan demi masa depannya dalam bola sepak.

Sekiranya dia memilih untuk berhijrah dengan lebih awal, KDA FC boleh dikatakan sebagai antara destinasi terbaik seperti mana yang dibincangkan di atas.

Namun, dengan bakat Fazrul semakin menarik perhatian pasukan-pasukan lain, adakah Sang Kenari mampu menyambarnya sebelum dia memuktamadkan masa depannya? — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram