Legenda JDT kembali ke pangkuan Harimau Selatan dengan status naturalisasi?


  • Podium
  • Jumaat, 14 Okt 2022

Skuad JDT pada 2021 menampilkan barisan pemain tempatan dan import yang ternama. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

ANTARA resipi utama di sebalik kejayaan Johor Darul Takzim (JDT) dalam arena bola sepak tempatan adalah perancangan teliti dalam jendela perpindahan.

Status kelab yang berada di tahap tertinggi menjadi kunci apabila mereka mudah mendapatkan pemain berkualiti serta mampu diserap ke dalam skuad Harimau Selatan.

Selain itu, kemampuan pasukan peninjau dalam mencari pemain import juga perlu diberi pujian selepas sumbangan dan persembahan mereka jarang mengecewakan.

Antara pemain yang sering meniti bibir peminat fanatik JDT ialah penyerang kelahiran Argentina, Gonzalo Cabrera apabila dia berjaya mewarnai skuad Harimau Selatan sepanjang lima tahun.

Dalam tempoh itu, dia berjaya menjaringkan 66 gol dengan 44 daripadanya berjaya dihasilkan dalam saingan Liga Super, sekali gus meletakkan namanya sebagai salah seorang import paling berbaloi Liga Malaysia.

Meskipun rekod berjaya dipecahkan seorang lagi penyerang JDT, Bergson da Silva, status Cabrera sebagai legenda pasukan selatan tanah air itu tidak boleh dipersoalkan.

Ketika ini, penyerang berbisa itu tidak lagi terikat dengan mana-mana pasukan selepas kontraknya ditamatkan hujung tahun lalu bagi membolehkan JDT mencari pemain baharu.

Namun, baru-baru ini, khabar angin muncul di media sosial mengatakan pemain berusia 32 tahun itu bakal pulang ke pangkuan Harimau Selatan untuk meneruskan kariernya.

"Dengarnya akan sertai semula JDT pada 2023," kata @emijaybee20 sambil menyertakan foto Cabrera pada 2021 ketika pemain itu masih bersama JDT.

1stLEAD-GONZALO-CABRERA-2

Cabrera berjaya menjaringkan 66 gol dalam 152 penampilan bersama JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers

Hal itu turut disokong seorang lagi peminat bola sepak tempatan, @eddycodozkazamamrtabohzamg yang mengatakan pemain itu bakal menerima status naturalisasi.

"Pemain naturalisasi skuad kebangsaan akan datang selepas duo Kuala Lumpur City FC, Romel Morales dan Paulo Jouse ialah Cabrera yang sedang dalam proses mendapatakan kerakyatan," katanya.

Khabar angin itu bukanlah sesuatu yang baharu apabila pada jendela perpindahan Jun lalu, terdapat juga ura-ura mengaitkan pemain itu dengan juara Liga Super sembilan kali berturut-turut itu.

Perkara tersebut bagaimanapun pantas dijelaskan pihak pengurusan Harimau Selatan dengan pengarah teknikal pasukan, Alistair Edwards yang menyangkal khabar angin itu.

Alistair menjelaskan, Cabrera perlu menerima status kewarganegaraan selama lima tahun sebelum dia dibenarkan beraksi dalam skuad Harimau Malaya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram