Lama menghilang, 3 pemain senior JDT diramal 'comeback' menjelang aksi bertemu PDRM


  • Podium
  • Rabu, 12 Apr 2023

Antara aksi JDT menentang Kelantan pada Piala MFL 2023. — Facebook/JDT

PERSAINGAN dalam kalangan pemain Johor Darul Takzim (JDT) semakin sengit terutamanya dengan kehadiran beberapa wajah baharu pada musim ini yang mana masing-masing mempunyai kualiti mereka tersendiri.

Musim ini sahaja, pemenang trofi Liga Super sembilan kali berturut-turut itu membawa masuk seramai lima pemain baharu yang meliputi semuaposisi JDT iaitu Juan Muniz, Endrick dos Santos, Oscar Arribas, Diogo Luis Santo dan penjaga gol dari Negeri Sembilan FC iaitu Ahmad Syihan Hazmi.

Kemunculan wajah baharu Harimau Selatan itu jelas memberi sumbangan dalam lapan perlawanan Liga Super dan tidak peliklah jika pengendali, Esteban Solari kekal meletakkan nama mereka dalam senarai pemain utama.

Disebabkan prestasi penambahan beberapa muka baharu dan konsistensi beberapa tonggak musim lepas, terdapat sebahagian pemain senior Harimau Selatan hanya beraksi bersama JDT II bagi saingan Piala MFL.

Antara pemain berpengalaman yang beraksi bersama JDT II adalah arkitek tengah, Danial Amier Norhisham; tonggak pertahanan, Adam Nor Azlin; penyerang, Hazwan Bakri dan pemain sayap naturalisasi negara, Mohamadou Sumareh.

Seperti perlawanan Piala MFL pada Selasa menentang Kelantan United kelihatan kelibat tiga pemain senior JDT iaitu Danial Amier, Sumareh dan Hazwan ditugaskan mengemudi pasukan JDT II.

jdt ii main

Tiga pemain senior JDT iaitu Danial Amier, Sumareh dan Hazwan diturunkan sebagai kesebelasan utama ketika aksi menentang pasukan Kelantan. — Facebook/JDT

Kehadiran pemain berpengalaman JDT itu jelas memberi impak kepada skuad simpanan Harimau Selatan yang mana keputusan akhir berkeseduhan 2-0 dan Hazwan juga meledak satu gol pada aksi tersebut.

Melihat kembali tiga pemain berkenaan beraksi di atas padang menyebabkan segelintir penyokong membuat ramalan bahawa ketiga-tiga berkemungkinan akan mendapat kepercayaan Solari untuk beraksi menenteng PDRM FC bagi saingan Piala FA.

Penyokong Harimau Selatan berpendapat bahawa keputusan untuk menurunkan tiga pemain tersebut pada Piala MFL menentang skuad Kijang Hijau adalah sebagai persediaan untuk kemunculan kembali mereka bersama pasukan utama.

Kali terakhir ketiga-tiganya diturunkan bersama skuad utama Harimau Selatan adalah pada musim lepas.

Hazwan membuat penampilan Liga Super sebanyak empat kali dengan merekodkan satu jaringan gol, Danial Amier pula hanya tampil dalam satu perlawanan pada musim 2022.

Manakala, Sumareh pula diturunkan dalam tujuh aksi Liga Super dan merekodkan satu jaringan gol dan satu hantaran bantuan bagi saingan musim lalu.

Skuad Harimau Selatan akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan Piala FA 2023 menentang PDRM FC dalam pusingan 16 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri dijadualkan pada Sabtu ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram