PERAK FC sekali lagi dikecewakan dalam aksi Liga Super selepas mengalami satu lagi kekalahan ketika beraksi menentang Kuala Lumpur (KL) City FC pada Isnin.
Dalam pertembungan yang berlangsung di Stadium Cheras, KL itu, jaringan pemain skuad Warga Kota, Sebastian Avanzini mengecewakan pasukan pelawat yang terpaksa pulang dengan tangan kosong.
Kekalahan itu juga menyaksikan skuad The Bos Gaurus (TBG) terus bergelut apabila mereka turun ke tangga ke-11 dengan hanya lima mata dikutip setakat lapan perlawanan.
Namun, perhatian pastinya diberikan kepada ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim yang terus terpalit dengan kontroversi dalam kalangan penyokong bola sepak tanah air.
Hal itu berikutan komen yang diberikannya selepas kekalahan di tangan Johor Darul Takzim (JDT) di laman sendiri pada 4 April lepas dengan pelbagai pihak melabelnya sebagai 'angkuh' dan tidak mesra.
Bagaimanapun, bagi pengendali kelahiran Melaka itu, suasana riuh di Stadium Perak, Ipoh menjadi punca atas bahasa tubuhnya yang dilabel tidak berminat untuk mendengar soalan daripada pihak media.
Jawapan Teong Kim sebelum ini mencetuskan perdebatan hangat. — Facebook/The Bola Reform
"Pada malam itu, sesiapa yang berada di dalam stadium atau di kaca televisyen boleh dengar bahawa penyokong JDT bersorak dan menyambut kemenangan itu.
"Jadi, keadaan di stadium itu agak riuh. Apabila wartawan itu tanya kepada saya, saya memang tak dengar dan saya kata, tidak dapat dengar soalan anda," jelasnya kepada media selepas perlawanan antara Perak FC dan KL City FC pada Isnin.
Tambah Teong Kim, petugas media yang juga berada di situ turut mengarahkan wartawan tersebut untuk mendekatinya di samping menegaskan jawapan diberikan bukanlah untuk mengguris hati mana-mana pihak dengan sengaja.
"Saya tidak ada niat sekali pun untuk menghina atau mengecilkan sesiapa pun. Tidak sekali pun, saya bukanlah jenis manusia sebegitu.
"Tetapi, sekiranya saya memperkecilkan seseorang, saya boleh katakan bahawa saya minta maaf sangat-sangat. Itu sahaja," katanya.
Jawapan Teong Kim sebelum ini mencetuskan kontroversi daripada pelbagai pihak, termasuk Presiden Persatuan Penulis-penulis Sukan Malaysia (SAM), Norismadi Abd Manap yang kecewa dengan sikap bekas pengarah Akademi Mokhtar Dahari (AMD) terbabit.
Tetapi, dalam masa sama, beberapa individu turut tampil mempertahankan ketua jurulatih Perak FC tersebut, termasuk penyerang legenda negara, Khalid Jamlus yang memahami kekecewaan dirasai Teong Kim.
Skuad TBG selepas ini bakal kembali ke laman sendiri pada 19 April untuk aksi Liga Super menentang Negeri Sembilan FC yang juga sedang bergelut ketika ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram