KEMENANGAN bergaya 5-0 yang direkodkan Terengganu FC ketika menentang Kelantan FC dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Terengganu Selasa lalu sememangnya sukar dilupakan penonton.
Meskipun masih tidak meletakkan pasukan Pantai Timur itu sebagai salah sebuah pencabar kejuaraan Liga Super, ia sedikit sebanyak melonjakkan kedudukan mereka dalam carta.
Selepas tujuh perlawanan, skuad Sang Penyu ketika ini sedang selesa menduduki tangga keenam hasil kutipan 10 mata dengan hanya tiga mata dibezakan dengan pasukan di atas, Sabah FC.
Lebih membanggakan lagi, kemenangan besar yang direkodkan itu menyaksikan penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut menjaringkan dua gol.
Dia yang sebelum ini menyertai Terengganu FC pada jendela perpindahan lalu dikatakan sesuai dengan latar belakang ketua jurulatih pasukan, Tomislav Steinbruckner.
Bagaimanapun, sentuhannya di hadapan pintu gol sering dijadikan bahan bualan pengikut setia Sang Penyu apabila mereka terpaksa menunggu lima penampilan daripadanya sebelum meraih gol pertama musim ini.
Namun, sepakan penalti pada minit ke-67 dan satu lagi yang diperolehi pada hujung perlawanan memastikan Mamut tidak lagi dibebani tekanan untuk mendapatkan gol Liga Super peribadinya.
Menariknya, pengguna media sosial dilihat gemar untuk menggunakan frasa 'pecah telur' untuk menceritakan bahawa penyerang itu sudah meraih gol peribadinya musim ini.
Tetapi, tahukah anda bahawa terdapat beberapa pemain lain yang masih menunggu untuk memperolehi gol pertama mereka meskipun diletakkan dalam jentera serangan dalam setiap perlawanan?
Berikut Majoriti menyenaraikan seramai tiga pemain berstatus tinggi yang masih menantikan peluang keemasan untuk mencetak jaringan sulung masing-masing dalam kancah Liga Malaysia musim ini:
1. Syafiq Ahmad (JDT)
Kecederaan penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Bergson da Silva ketika bertemu Kuala Lumpur (KL) City FC awal Mac lalu menimbulkan pelbagai persoalan dalam kalangan penyokong.
Bagi mereka, pengendali pasukan, Esteban Solari perlu melakukan pemilihan terbaik dalam memastikan jentera pasukan tidak tumpul tanpa kehadiran pemain kelahiran Brazil itu.
Ini kerana skuad Harimau Selatan memiliki dua penyudah yang cukup prolifik, iaitu Diogo Luis Santo dan Syafiq Ahmad dengan masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.
Syafiq terpaksa menunggu untuk mendapatkan peluangnya bersama JDT. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Bagimanapun, dengan Diogo lebih dikenali dengan kariernya di Malaysia dan Thailand, Syafiq sepertinya terpaksa berpuas hati untuk hanya memanaskan bangku simpanan.
Musim ini, pemain berusia 28 tahun tersebut hanya diturunkan sebanyak dua kali dengan kedua-duanya merupakan penampilan dari bangku simpanan.
Walaupun JDT terus mengungguli di atas padang, Syafiq pastinya terkesan dengan peluangnya semakin terjejas dalam kesebelasan utama, lebih-lebih lagi menjelang aksi Piala Asia 2023.
Musim lalu, pemain kelahiran George Town, Pulau Pinang itu turut berdepan nasib sama apabila dia terpaksa menunggu sehingga Oktober untuk menjaringkan gol sulungnya bersama JDT.
Persoalannya, dengan Bergson dilaporkan sudah berada dalam tahap kecergasan terbaik, adakah khidmat Syafiq akan terus ditagih atau dia perlu mencari angin baharu demi kariernya sendiri?
2. Hadi Fayyadh (Perak FC)
Kepulangan bekas pemain muda JDT, Hadi Fayyadh Abd Razak ketika jendela perpindahan lalu sememangnya cukup dinanti-nantikan penyokong bola sepak tanah air.
Manakan tidak, dia yang memilih untuk berkelana ke Jepun sejak 2019 dijangka akan meraih pelbagai pengalaman, sekali gus menaikkan namanya sebagai salah seorang penyerang masa depan negara.
Namun, perkara yang sebaliknya berlaku apabila pemain berusia 23 tahun tersebut masih tercari-cari untuk mendapatkan gol sulungnya dalam Liga Super musim ini.
Sejak menyertai skuad The Bos Gaurus (TBG), Hadi sudah menerima kepercayaan untuk mengemudi jentera serangan pasukan untuk tujuh perlawanan Liga Super berturut-turut.
Aksi Hadi (kiri) ketika pertemuan antara skuad TBG dan Penang FC. — Facebook/Perak FC
Tidak cukup dengan itu, khidmatnya terus ditagih pengendali pasukan, Datuk Lim Teong Kim ketika aksi Piala FA menentang Sri Pahang FC 8 Mac lalu di laman sendiri.
Kekecewaan pastinya dirasai Hadi serta pihak kejurulatihan Perak FC dengan kemarau gol penyerang itu meletakkan mereka sebagai salah satu pasukan paling tumpul musim ini.
Tetapi, sumbangannya masih tidak boleh dinafikan apabila dia sudah merekodkan dua bantuan jaringan setakat ini ketika aksi Liga Super menentang Kedah Darul Aman (KDA) FC dan Penang FC.
Bagaimanapun, dengan penyerang lebih kerap dinilai menerusi gol yang dijaringkan, adakah skuad TBG sudah berpuas hati dengan statistiknya ketika ini?
3. Lucas Silva (Sri Pahang FC)
Kegagalan skuad Tok Gajah untuk mengekalkan khidmat penyerang kelahiran Colombia, Steven Rodriguez melunturkan semangat penyokong memandangkan pemain itu cukup penting buat mereka musim lalu.
Namun, kerinduan itu segera dipulihkan apabila pihak pengurusan Sri Pahang FC berjaya mendapatkan khidmat dua penyerang import, Kpah Sherman dari Terengganu FC dan Lucas Silva dari Penang FC.
Bagaimanapun, berita buruk melanda rata-rata pengikut fanatik pasukan selepas laporan mendapati Lucas tidak dapat diturunkan sekurang-kurangnya dua bulan.
Ketiadaannya itu sepertinya satu rahmat buat Kpah apabila dia diberikan kepercayaan ketua jurulatih Tok Gajah, Fandi Ahmad untuk diturunkan dengan lebih kerap.
Kehadiran Lucas (kiri) masih belum membuahkan sebarang hasil buat skuad Tok Gajah. — Facebook/Sri Pahang FC
Ia dilihat sebagai satu percaturan cukup baik dengan pemain antarabangsa Liberia itu mula menunjukkan taringnya dalam Liga Super setelah merekodkan empat gol dalam tujuh penampilan.
Rekod cemerlang itu dilihat memberi tekanan buat Lucas yang semakin tidak sabar-sabar untuk kembali beraksi di atas padang meskipun laporan awal menyebut dia terpaksa disisihkan sehingga pertengahan musim.
Tetapi, kepulangannya dalam kancah Liga Super bukanlah sesuatu yang membanggakan apabila dia gagal untuk menyempurnakan sepakan penalti ketika berdepan KDA FC pada 1 April lalu.
Sejak itu, Fandi boleh dikatakan masih meletakkan harapan tinggi buat pemain kelahiran Brazil tersebut dengan sekali lagi dia diturunkan ketika menentang PDRM FC Rabu lalu.
Jadi, dengan skuad Tok Gajah bakal menerima kunjungan Kelantan United di laman sendiri pada Isnin, mampukah Lucas menjaringkan gol pertamanya dalam jersi Sri Pahang FC musim ini? — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram