Kepulangan Lampard ke Chelsea ranapkan harapan Man U dapatkan bintang England


  • Podium
  • Jumaat, 07 Apr 2023

Chelsea memilih untuk membawa masuk Lampard dengan kontrak jangka masa pendek. — Agensi

SUSULAN pemecatan Graham Potter daripada jawatan pengurus, Chelsea melakukan kejutan dengan memilih untuk melantik legenda kelab, Frank Lampard dengan kontrak jangka masa pendek.

Keputusan itu dilihat sedikit meragukan penyokong The Blues selepas khabar angin mengatakan mereka lebih berminat bagi mendapatkan khidmat pengurus muda, Julian Nagelsmann yang baru sahaja digugurkan Bayern Munich.

Namun, dengan Lampard sebelum ini pernah mengendalikan Chelsea untuk kira-kira dua musim, ia sepertinya satu langkah yang sesuai dalam menyelamatkan musim kelab London itu.

Bukan itu sahaja, kepulangan pengurus berusia 44 tahun itu dikatakan sebagai usaha pasukan berkenaan untuk menghalang perpindahan perancang skuad, Mason Mount.

0_Mount

Mount (kiri) dan Lampard mempunyai satu hubungan yang istimewa. — Agensi

Pemain tengah tersebut sebelum ini pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Manchester United yang turut berminat untuk melengkapkan lagi pasukan mereka.

Ia dilihat sesuai berdasarkan dua tonggak pasukan, Christian Eriksen dan Casemiro dengan kedua-duanya sudah melebihi usia 30 tahun.

Tambahan pula, kehadiran perancang antarabangsa Austria, Marcel Sabitzer dilihat masih gagal untuk meningkatkan kemampuan skuad kendalian Erik ten Hag.

Oleh itu, tidak hairanlah apabila terdapat khabar angin yang mengatakan skuad The Red Devils berminat untuk membawa masuk Mount ketika jendela perpindahan akan datang.

Bagaimanapun, dengan pemain berusia 24 tahun itu sebelum ini merupakan antara watak penting bagi pasukan kendalian Lampard, ura-ura tersebut sepertinya sudah tidak relevan.

Meskipun kontraknya dikhabarkan akan tamat pada 2024, pihak pengurusan Chelsea dikhabarkan masih yakin bahawa mereka masih berpeluang untuk mengekalkan khidmatnya.

Musim ini, pemain tengah antarabangsa England tersebut diturunkan dalam 23 daripada 29 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan tiga gol peribadi dan dua bantuan jaringan direkodkan.

Sumbangan kurang menyerlah itu dilihat antara sebab skuad The Blues sedikit bergelut apabila mereka berada di kedudukan ke-11 liga dengan hanya 39 mata dikutip setakat ini. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram