Bekas pengurus Man United diseru selamatkan musim suram Chelsea


  • Podium
  • Isnin, 03 Apr 2023

Mourinho (kiri) cukup terkenal dengan kemahiran serta personalitinya dalam dunia bola sepak. — Agensi

NASIB Graham Potter akhirnya diketahui selepas pihak pengurusan Chelsea mengambil keputusan untuk menghentikan khidmatnya serta-merta selepas kekalahan 0-2 kepada Aston Villa.

Keputusan itu menyaksikan skuad The Blues berada di tangga ke-11 Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan harapan untuk layak ke pentas Eropah musim depan semakin tipis.

Berdasarkan laporan beberapa agensi antarabangsa, bekas pengendali Bayern Munich, Julian Nagelsmann dikatakan sedang dirisik kelab untuk baki musim ini.

Namun, bagi majoriti besar penyokong Chelsea, mereka lebih tertarik untuk mendapatkan khidmat bekas pengurus, Jose Mourinho yang ketika ini bersama kelab Itali, Roma.

Jose_Mourinho_Roma_Inter_2021-22

Mourinho sedang mempamerkan magisnya bersama AS Roma. — Agensi

Meskipun dia dilihat sudah semakin berusia, kemampuannya untuk mengembalikan pasukan ke landasan dilihat bersesuaian, lebih-lebih lagi dengan mereka semakin kehilangan identiti.

Pengendali kelahiran Portugal itu sebelum ini pernah berkhidmat bersama kelab London tersebut sebanyak dua kali, dengan ia merupakan salah satu zaman kegemilangan mereka.

Kali pertama Mourinho mengendalikan Chelsea adalah dari 2004 hingga pertengahan 2007, yang mana dia membantu mereka menamatkan penantian lebih 50 tahun untuk muncul juara liga.

Pengurus berusia 60 tahun itu sekali lagi mengemudi kelab kaya-raya terbabit dari 2013 sehingga 2015 dengan satu lagi trofi EPL berjaya dibawa pulang, selain pernah mengendalikan Manchester United.

Sentuhannya dalam dunia bola sepak sepertinya masih tidak pudar apabila dia ketika ini sedang membimbing Roma untuk layak ke Liga Juara-juara UEFA (UCL) musim depan. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram