BERIKUTAN kekalahan enam kali berturut-turut sejak bersaing di pentas Liga Super musim ini, penyokong pasukan Kelantan mula melakukan protes terhadap persembahan buruk The Red Warriors (TRW).
Ditambah lagi dengan kontroversi yang melanda kelab itu membabitkan bekas ketua jurulatihnya, Choi Moon-sik, amarah penyokong Kelantan benar-benar tidak dapat dibendung.
Sebahagian penyokong bertindak menggantung sepanduk sebagai tanda protes kepada pemilik pasukan, Norizam Tukiman.
Antara sepanduk yang digantung penyokong sebagai tanda protes kepada pasukan TRW. — Facebook
Pada masa sama, mereka turut menampal poster di sekitar pekarangan Stadium Sultan Muhammad IV di Kota Bharu, Kelantan bagi menunjukkan rasa marah dengan prestasi semasa pasukan.
Antaranya berbunyi, "TRW Kelantan FC bukan kelab menjual kopi dan burger! Caro (Cara) bolalah."
Sementara itu, Norizam menerusi satu hantaran di Facebook berkata, dia bersedia untuk mengundurkan diri sekiranya penyokong merasakan dirinya tidak layak menjadi pemilik pasukan itu.
Menurut Norizam atau lebih dikenali sebagai Zamsaham, dia terfikir untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan Kelantan FC kepada individu yang mampu.
Tangkap layar status Zamsaham pada Isnin. — Facebook Zamsaham
"Pelbagai usaha saya untuk naikkan kelab TRW dari 2020 hingga sekarang. Duit saya yang Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) hutang RM 3.8 juta belum diterima lagi sesen pun.
"Jika rasa saya tak cukup bagus dan tidak layak jadi pemilik kelab ini, saya terfikir untuk melepaskan sepenuhnya saham pasukan Kelantan FC ini kepada individu yang mampu," katanya.
Selepas mengharungi lapan perlawanan Kelantan FC hanya meraih satu kemenangan, satu seri dan lima kekalahan dengan mengumpul empat mata.
Bukan itu sahaja, Kelantan FC merekodkan jumlah bolos agak tinggi dalam saingan Liga Super dengan 25 bolos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram