Frank Bernhardt sah bersama TRW, fans Kelantan kata ini semua skrip lama


  • Podium
  • Ahad, 09 Apr 2023

Bernhardt (kanan) bersama Rezal (kiri) dalam sesi latihan skuad TRW pada Sabtu. — Facebook/Kelantan FC

SELEPAS pihak pengurusan Kelantan FC mengambil keputusan untuk memecat Choi Moon-sik sebelum perlawanan antara Kelantan FC dan Terengganu FC, ia menjadi isu yang diperkatakan orang sehingga kini.

Rentetan itu, Kelantan FC menerusi laman rasmi media sosialnya mengumumkan sah melantik Frank Bernhardt sebagai pengganti Moon-sik untuk mengendalikan pasukan pada Ahad.

Rata-rata penyokong bola sepak sudah mula membuat spekulasi tentang kedudukan jurulatih Korea Selatan yang akan diambil alih oleh Bernhardt yang mana sebelum ini diberi peranan sebagai Pengarah Teknikal The Red Warriors (TRW).

Sebelum dilantik sebagai ketua jurulatih, sudah ada ura-ura mengatakan Bernhardt akan dibawa masuk sebagai pengganti bekas jurulatih Daejeon Citizens pada ketika itu.

Frank

Bernhardt dilantik menjadi Ketua Jurulatih Kelantan FC.

Tetapi pemilik Kelantan FC, Norizam yang mesra dipanggil Zamsaham masih memberi kepercayaan kepada Moon-sik untuk membimbing TRW keluar dari zon bawahan liga.

Kini, pengalaman bekas jurulatih UiTM FC itu ditagih bagi membantu TRW memperbaiki kedudukan tempat ke-13 Liga Super dengan empat mata daripada tujuh perlawanan.

Namun, kehadiran Bernhardt seolah-olah sudah dijangka oleh majoriti peminat TRW.

"Benda dah lama rancang, ini semua helah lama," kata Abey Jay.

"Tak nak harap apa-apa dari pelantikan ini, apa-apa pun semoga berjaya Kelantan FC, sokong sebab sayang kelab ini," ujar Saiful Saizri.

"Dah kata skrip boleh baca lama dah, apa pun doakan yang terbaik buat Kelantan FC," jelas Isey Mache.

"Comel betul putaran perjalanan Frank Bernhardt," luah Faizal Hanafiah.

Bernhardt ketika mengendalikan pasukan UiTM FC pada 2021.

Selain UiTM FC, Bernhardt pernah melatih skuad Bawah-23 (B-23) negara, skuad B-19 dan B-22 Estonia (2007-2012) serta menjadi Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Azerbaijan (2014-2015).

Pada masa sama, penyokong Kelantan juga seakan-akan sudah mengetahui Bernhardt bakal mengendalikan pasukan menjelang aksi Liga Super menentang Selangor di Stadium MBPJ, Petaling Jaya, Selangor pada Ahad.

Ini selepas kelibatnya bersama jurulatih sementara Rezal Zambery Yahya dalam gambar-gambar sesi latihan pasukan yang dimuat naik laman rasmi Facebook Kelantan FC pada Sabtu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram