Bekas peledak Harimau Malaya luah kekecewaan dekat pusara ibu selepas cuma 2 bulan bersama Kelantan FC


  • Podium
  • Ahad, 09 Apr 2023

Shafiq ketika mewakili skuad kebangsaan dalam perlawanan persahabatan menentang Fiji pada 2018. — Facebook/FAM

BEKAS penyerang Johor Darul Takzim (JDT), Shafiq Shaharudin dikhabarkan sudah meninggalkan Kelantan FC selepas baru dua bulan menandatangani kontrak bersama pasukan itu pada Februari lepas.

Pernah mencipta nama bersama JDT II, bekas penjaring terbanyak skuad The Red Warriors (TRW) musim 2018, Shafiq meninggalkan pasukan dari pantai timur itu selepas sempat tampil sebanyak sekali sahaja musim ini.

Nama Shafiq bukanlah asing dalam kancah bola sepak tempatan apabila pernah mewakili beberapa pasukan selepas meninggalkan JDT pada 2018.

Antara pasukan yang pernah diwakili oleh pemain berusia 29 tahun itu adalah Kelantan FC, PKNS FC, Kuala Lumpur City FC, Kuching City FC dan KL Rovers FC sebelum kembali ke skuad TRW pada musim ini.

Tangkap layar InstaStory Shafiq baru-baru ini.

Shafiq yang baru sahaja kehilangan insan tercinta November tahun lalu, memuat naik gambar menerusi Instagram batu nisan arwah ibunya dengan meluahkan isi hati yang terbuku selama ini.

"Assalamualaikum mama, abang minta maaf sampai sini sahaja perjuangan abang.

"Abang percaya ALLAH akan kurniakan rezeki yang lebih baik pada abang untuk masa depan abang dan keluarga abang,” luahnya.

Shafiq Shahruddin Malaysia

Shafiq ketika mewakili Harimau Malaya pada 2018. Facebook/The Kijang

Manakala laman profil Instagram Shafiq, gambar-gambar dia bersama Kelantan FC musim ini sudah dipadam.

Shafiq juga sempat memaparkan bahawa dia kini merupakan ejen bebas dan tidak terikat dengan mana-mana pasukan.

Anak jati kelahiran Batu Pahat, Johor ini pernah menyarung jersi Harimau Malaya pada 2018 selepas tampil cemerlang bersama JDT II dan Kelantan FC sehingga menarik minat Tan Cheng Hoe untuk memanggilnya ke dalam skuad kebangsaan.

Baru-baru ini, kem skuad TRW dikejutkan dengan masalah-masalah dalaman yang didedahkan oleh seorang ejen dari Korea Selatan dengan ada dakwaan menyatakan pihak pengurusan Kelantan tidak menjaga kebajikan dan lewat membayar gaji pemain-pemain selama dua bulan.

Tidak tahu apa punca menyebabkan Shafiq meninggalkan TRW, namun sehingga kini masih tiada apa-apa pengumuman rasmi dari pihak pengurusan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram