KEHANGATAN aksi di antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC semakin dirasai, lebih-lebih lagi dalam kalangan penyokong kedua-dua pasukan.
Tidak boleh dinafikan, skuad Harimau Selatan memiliki kelebihan besar apabila pertembungan berkenaan bakal diadakan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Bukan itu sahaja, prestasi mereka musim ini sememangnya sukar disangkal sehingga persoalan mula timbul, adakah mereka mampu disekat di peringkat domestik?
Namun, bagi skuad Sang Kenari, mereka pastinya tidak mahu mengalah terlalu awal memandangkan mereka sedang menduduki tangga kedua selepas tujuh perlawanan.
Selain kekalahan kepada PDRM FC awal musim lalu, mereka hanya mencicirkan mata dalam satu lagi perlawanan, iaitu ketika seri menentang Sri Pahang FC.
Rekod pertahanan mereka juga tidaklah amat mengecewakan dengan hanya lima gol dibolosi setakat ini dan ia merupakan rekod terbaik selepas JDT.
Dari segi pemain pula, mereka pastinya mahu melakukan terbaik sekiranya diturunkan memandangkan perlawanan tersebut cukup penting untuk baki musim ini.
Nama-nama besar, seperti Lee Tuck bersama KDA FC dan penyerang sayap Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi akan tampil dengan aksi terbaik bagi mengecewakan lawan masing-masing.
Bagaimanapun, masih terdapat beberapa pemain yang pastinya berharap dapat diturunkan, lebih-lebih lagi bagi mereka yang masih belum mempamerkan persembahan terbaik untuk 2023.
Melihat kepada kedua-dua skuad, terdapat tiga nama yang dijangka bakal turun dengan aksi terbaik, sekali gus menjadi platform buat mereka kembali ke prestasi teratas selepas ini.
1. Syafiq Ahmad (JDT)
Kehadiran semula Diogo Luis Santo menjadi antara punca utama penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad terus diletakkan di bangku simpanan JDT.
Musim ini, pemain berusia 28 tahun itu masih belum berpeluang berada dalam kesebelasan utama pasukan dengan ketua jurulatih, Esteban Solari lebih berminat untuk menggunakan Diogo atau Bergson da Silva.
Peluang tipis tersebut menyebabkan dia masih menunggu untuk mendapatkan gol pertamanya dalam Liga Malaysia memandangkan dia hanya beraksi untuk 14 minit setakat ini.
Jadi, pasti penyokong Harimau Selatan tidak meletakkan harapan tinggi untuk menyaksikan Syafiq menjaringkan gol dalam aksi yang bakal berlangsung pada Ahad itu.
Syafiq (kiri) ketika menjaringkan gol untuk JDT semasa berdepan KDA FC musim lalu.
Bagaimanapun, melihat kepada statistiknya pada 2022, terdapat kemungkinan besar bahawa namanya bakal tersenarai sebagai penjaring di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Pada 2022, pemain kelahiran George Town, Pulau Pinang itu berdepan nasib sama selepas dia pulang ke Selatan tanah air setelah tempoh pinjamannya bersama KDA FC tamat pada pertengahan musim.
Namun, ketika pertemuan antara kedua-dua pasukan di laman sendiri, dia menjawab segala kesangsian yang dilontarkan terhadapnya dengan dua gol dijaringkan sebagai pemain simpanan.
Persoalannya, dengan Bergson dan Diogo ketika ini berada dalam prestasi terbaik, adakah khidmat Syafiq akan diperlukan meskipun sebagai pemain gantian?
2. Al-Hafiz Harun (KDA FC)
Kehadiran Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih Sang Kenari meletakkan harapan tinggi untuk pemain sayap, Al-Hafiz Harun yang sedikit bergelut musim lalu.
Meskipun kerap diturunkan ketika Aidil Sharin Sahak memegang jawatan sebagai pengendali, dia terus bergelut di hadapan pintu gol lawan.
Pandangan itu dibuktikan apabila dia gagal meraih sebarang gol, namun enam bantuan jaringan yang diperolehi dalam 18 penampilan sedikit sebanyak menaikkan namanya.
Namun, musim ini, harapannya untuk mendapatkan jaringan peribadi sulung dalam kancah Liga Super tercapai apabila dia membantu KDA FC memungut tiga mata ketika berdepan Kelantan United FC.
Kebolehan Al-Hafiz (kiri) semakin terserlah sejak kehadiran Nafuzi. — Facebook/KDA FC
Gol tersebut merupakan jaringan pertamanya setelah hampir dua tahun dengan yang terakhir dihasilkan pada 2021 ketika Al-Hafiz masih bersama Penang FC.
Jadi, dengan pertembungan menentang JDT itu, pemain berusia 28 tahun berkenaan pastinya mahu kembali mencetak gol, sekali gus membantu KDA FC mencapai kemenangan.
Walaupun ia dilihat sebagai satu misi mustahil, semangat yang ditunjukkannya setiap kali beraksi boleh menjadi satu batu loncatan untuknya tampil sebagai wira buat Sang Kenari.
Bagaimanapun, dengan Fayadh Zulkifli seperti sudah semakin yakin dalam gaya permainannya, ada kemungkinan Al-Hafiz akan digugurkan.
3. Nazmi Faiz Mansor (JDT)
Seperti Syafiq, pemain tengah pasukan, Nazmi Faiz Mansor juga semakin hampir dilupakan, lebih-lebih lagi dengan kehadiran Endrick dos Santos dan Juan Muniz jendela perpindahan lalu.
Dalam tujuh perlawanan JDT dalam saingan Liga Super, bekas pemain Selangor FC itu hanya diturunkan sebanyak sekali, iaitu sebagai pemain gantian ketika aksi menentang Kelantan FC.
Lebih merisaukan lagi, Solari memilih untuk tidak meletakkannya di bangku simpanan untuk majoriti perlawanan liga bagi memberi tempat buat pemain lain.
Namun, dengan skuad Harimau Selatan bakal berdepan jadual yang lebih padat selepas ini, terdapat kemungkinan khidmat Nazmi akan kembali ditagih.
Nazmi hanya mengumpul satu penampilan bersama JDT musim ini. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Meskipun penampilannya semakin terhad, gaya permainan yang ditunjukkan ketika penampilan menentang skuad The Red Warriors (TRW) tidaklah begitu mengecewakan.
Larian dan kebolehannya untuk menggelecek masih perlu diberikan pujian selain masih mempunyai kelebihan untuk melakukan lorongan kemas kepada rakan sepasukan.
Walaupun tidak berpotensi untuk menjaringkan gol peribadi, terdapat kemungkinan dia akan sekurang-kurangnya meraih satu bantuan gol.
Oleh itu, lambakan perancang dilihat bukanlah satu penghalang buat Nazmi untuk menonjolkan bakatnya semula, sekali gus menghidupkan peluang untuknya beraksi dengan lebih kerap. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram