Tonggak Sang Kenari bersemangat 'all-out' sekat rekod cemerlang JDT


  • Podium
  • Sabtu, 08 Apr 2023

Skuad Sang Kenari dijangka akan turun dengan aksi berbeza ketika bertandang ke tempat lawan. — Facebook/KDA FC

PERTEMUAN Liga Super minggu kelapan antara Johor Darul Takzim (JDT) dan Kedah Darul Aman (KDA) FC pada Ahad semestinya ditunggu peminat setia bola sepak tanah air.

Aksi yang bakal berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor itu dijangka menarik ribuan penyokong kedua-dua pasukan demi memberi sorakan terbaik kepada pemain di atas padang.

Namun, dengan jentera serangan JDT sedang berada di tahap terbaik musim ini, pasti ia sedikit sebanyak menghadirkan rasa gusar dalam kem Sang Kenari.

Tetapi, bagi penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al Hafiz Mat Rowi, kesemua pemain pasukan Utara tanah air itu sudah melakukan persiapan rapi menjelang pertembungan itu.

"Semua pemain sudah fokus dalam latihan dan membuat persiapan berdepan JDT. Kami mahu memastikan tidak dibolosi awal dan mendapatkan banyak jaringan itu menjadi sasaran utama pasukan berdepan JDT.

"Beraksi di tempat lawan, ia adalah sukar buat mana-mana pasukan namun apa sahaja boleh berlaku dan kami mahu mempamerkan aksi terbaik sebagai satu pasukan dan berharap keputusan memihak kami," katanya.

KDA FC pastinya tidak mahu mengibarkan bendera putih terlalu awal dengan mereka ketika ini sedang berada di tangga kedua Liga Super hasil 16 mata yang dikutip setakat tujuh perlawanan.

Statistik pertahanan mereka juga tidaklah terlalu merisaukan apabila mereka hanya dibolosi sebanyak lima kali setakat ini dengan Kalamullah menjadi antara watak penting pasukan.

Bekas pemain Petaling Jaya (PJ) City FC itu dilihat amat cekap dalam mengawal gawang gol sendiri dengan tiga daripada tujuh penampilannya dalam Liga Super berakhir tanpa dibolosi. — Stadium Astro

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram