'Perang' Kelantan-Korea Selatan bukan isu baharu, Pahang lebih awal hadapinya — Pekan


  • Podium
  • Sabtu, 08 Apr 2023

Pekan turut mengingatkan agar pihak pengurusan kelab lebih terbuka mendengar teguran pihak luar.

KEMELUT yang menyelubungi Kelantan FC seperti tiada penghujung sejak pemecatan mengejut ketua jurulatih, Choi Moon-sik, Selasa lalu.

Ia dihangatkan lagi dengan campur tangan ejen bola sepak Korea Selatan, Leo Jeong yang tidak henti-henti mendedahkan kekurangan pasukan itu.

Misalnya, dalam satu hantaran di Instastory miliknya, Jeong mendakwa pemain tidak diberi makanan mencukupi setiap kali sesi latihan.

Hantaran itu mengundang respons daripada pemilik kelab, Norizam Tukiman yang enggan berdiam diri demi menjaga reputasi dan nama baiknya sebagai usahawan tempatan terkemuka.

Perbalahan kedua-dua pihak itu mencapai satu tahap berbeza apabila Kelantan FC memilih untuk mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menidakkan dakwaan yang disifatkan tidak berasas itu.

2011925

Antara pendedahan yang pernah dibuat Leo Jeong mengenai nasib Moon-sik sebagai pengendali Kelantan FC.

Meskipun perkara tersebut menghangatkan dunia bola sepak tanah air, segelintir penyokong pasti berasa malu terhadap sikap sambil lewa pihak pengurusan The Red Warriors (TRW).

Ini kerana masalah itu ketika ini sudah mula tersebar di Korea Selatan yang mana dikhuatiri akan menjejaskan nama Liga Malaysia.

Tambahan pula, perkara sedemikian jarang menimpa arena bola sepak negara, lebih-lebih lagi dasar penswastaan mula diperkenalkan dalam sukan terbabit.

Bagaimanapun, bagi pemerhati bola sepak tanah air, Datuk Dr Pekan Ramli, nasib yang sedang dialami Kelantan FC tidak ubah seperti situasi yang pernah dihadapi sebuah lagi pasukan tempatan, Sri Pahang FC.

Jelasnya, bekas pengendali skuad Tok Gajah, Thomas Dooley sebelum ini pernah mengambil tindakan seakan-akan Moon-sik sehingga menyaksikannya dipecat selepas tiga perlawanan sahaja.

"Apabila ada dakawaan sebegini, saya rujuk kepada insiden pernah berlaku dengan pasukan Pahang sebelum ini.

"Jurulatih yang baru sahaja beberapa perlawanan digugurkan jawatan dengan ada dakwaan di mana dia mengkritik pihak pengurusan," katanya kepada Majoriti.

dooleyyy

Dooley (kanan) sebelum ini lantang mengkritik kualiti fasiliti Sri Pahang. Facebook/Sri Pahang FC

Ketika bersama Sri Pahang FC, Dooley yang merupakan jurulatih dari Amerika Syarikat mendedahkan fasiliti latihan pasukan berkenaan lebih teruk berbanding kelab divisyen kelapan Jerman.

Perkongsian tersebut menyebabkan pihak pengurusan kelab tidak memberi sebarang peluang buatnya, lebih-lebih lagi dengan kemarau kemenangan dalam Liga Super ketika itu.

Jelasnya lagi, kredibiliti dan kualiti yang ditonjolkan sesetengah pasukan tempatan, lebih-lebih lagi Johor Darul Takzim (JDT) menaikkan lagi tanggapan pihak luar terhadap kelab Liga Super.

"Mungkin sebelum sampai, mereka diberikan gambaran berbeza. Tetapi, mungkin hal yang terjadi indah khabar dari rupa. Kita juga perlu ambil perhatian dan tidak boleh salahkan mereka juga.

"Kita juga perlu lihat kepada liga kita. Ada nama besar seperti JDT, jadi mungkin orang luar datang dan ada anggapan bahawa beza dengan JDT tidak terlalu ketara," katanya.

Namun, jelas Pekan, pendekatan yang dibuat Jeong itu tidak boleh dipersoalkan memandangkan ia berpotensi menaikkan kualiti pasukan di dalam dan luar padang.

"Kita tidak boleh layankan ego sendiri yang tidak boleh ditegur, tidak boleh dikatakan apa-apa oleh jurulatih luar," katanya.

Tambah pensyarah kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi UiTM Shah Alam itu, luahan itu adalah perlu dan sesuai dengan langkah bola sepak hari ini yang semakin profesional.

Ketika ini, skuad TRW meletakkan kepercayaan kepada Rezal Zambery Yahya sebagai pengendali sementara susulan keputusan merehatkan Moon-sik secara mengejut.

Mereka bagaimanapun masih mencari rentak terbaik dalam Liga Super selepas hanya meraih satu kemenangan dalam tujuh perlawanan setakat ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram